09 Januari 2010

Zionis menyelinap depan mata...sistem maklumat sensitif Bukit Aman diceroboh

Pada 14hb Julai, 2008, tanpa diheboh-hebohkan kepada pihak media, termasuk di kalangan media alternatif, Atok telah terpanggil untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Laporan berkenaan adalah mengenai apa yang diketahui dan diyakini satu komplot berbahaya untuk mengkompromi, menguasai dan menceroboh secara sulit sistem maklumat di pusat nadi penting keselamatan negara, Ibupejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.

Apa yang paling membimbangkan, pencerobohan yang turut melibatkan satu Unit Perisikan Elektronik Pusat (Elektronik) PDRM yang serba sensitif, didalangi oleh dua orang yang diketahui punyai perkaitan rapat dengan masyarakat perisikan dan pertahanan sebuah negara yang telah lama menjadi musuh masyarakat antarabangsa, Zionis Israel.

Kedua-dua dalang ini juga menjadikan negara terdekat kita, Singapura sebagai “pengkalan korporat” mereka untuk menjalankan operasi mencerobohi sistem maklumat PDRM.

Gaza

Atok terpanggil untuk menulis posting ini dan mendedahkan kejadian breach paling serius dalam jentera keselamatan negara yang berlaku sejak lebih setahun lalu ini sempena tindakan kebinatangan tentera negara zionis itu “menyembelih” orang awam Palestin di Semenanjung Gaza.

Ketika posting ini ditulis, pencerobohan oleh bala tentera yang sombong dan hina itu telah memasukki minggu keduanya, manakala angka yang terkorban di kalangan rakyat Palestin tidak berdosa telah melepasi angka 700 orang yang termasuk ramai dari kalangan kanak-kanak dan bayi tidak berdosa.

Walaupun Malaysia tidak pernah mengadakan apa-apa bentuk perhubungan pun dengan negara Yahudi Zionis itu sejak merdeka, tetapi dalam laporan polis Atok, kedua-dua dalang yang mencerobohi sistem maklumat di Bukit Aman itu didedahkan sebagai rakyat Israel, Izhar David Nakar dan Ido Schecter.

David Nakar merupakan veteran Angkatan Udara Israel yang pernah menerima Israel Defense Award (Anugerah Pertahanan Israel). Beliau juga bertanggungjawan membangunkan satu sistem perisikan elektronik (ELINT) yang tercanggih bagi negara zionis itu. Schecter pula masih berkhidmat sebagai pegawai berpangkat Kapten di dalam Angkatan Udara Israel.

Berdasarkan penyelidikan yang dibuat di kalangan sumber-sumber yang boleh dipercayai, Atok mendedahkan melalui laporan polis yang dibuat itu bahawa modus operandi kedua-dua “master mind” Yahudi untuk mencerobohi sistem komputer Bukit Aman adalah dengan “memaksa” vendor Teknologi Maklumat tempatan yang menyertai program pengkomputeran PDRM supaya memberi sub kerja mereka kepada sebuah syarikat tempatan, Asia Soft (M) Sdn Bhd (ASSB) yang merupakan “syarikat samaran” atau dalam istilah masyarakat perisikan Barat/Israel, “proprietary company.”

Singapura

Apa yang menarik dalam hal ini, 30 peratus saham di dalam ASSB dimiliki oleh syarikat teknologi maklumat dari Singapura, Asia Soft (S) Pte Ltd (ASSPL). David Nakar dan Schecter merupakan ahli Lembaga Pengarah ASSPL. Syarikat Singapura itu pula dimiliki oleh sebuah lagi syarikat dari seberang Tambak Johor, Asia Soft Global Pte Ltd (ASGPL).

Seterusnya, ASGPL pula dimiliki oleh sebuah syarikat teknologi maklumat yang berpengkalan di Tel Aviv Israel, Top Image System (TIS). Selain menjadi Ahli Lembaga Pengarah ASSPL, David Nakar merupakan Pelopor/Pengerusi TIS, manakala Schecter merupakan Ketua Pegawai Eksekutif.

Setelah lebih tujuh bulan laporan polis dibuat, persoalan yang timbul adalah: apa telah terjadi dengan siasatan yang dijanjikan oleh pihak PDRM? Walaupun perkembangan terakhir yang Atok ketahui, selang tak sampai sebulan laporan polis dibuat, skandal espionage ini telah sengaja “dibocorkan” kepada akhbar The Star.

Walaupun akhbar harian tempatan bahasa Inggeris ini kemudian memuatkannya sebagai berita utama muka depan, tetapi tiada perkembangan atau fakta tambahan yang dipaparkan.

Appeasement

Walaupun Atok memahami keperluan pihak yang berwajib di dalam birokrasi keselamatan negara kita untuk mengekalkan sikap low profile dalam kes sensitif seperti ini – barangkali memandangkan ianya melibatkan negara jiran akrab kita di dalam ASEAN, Singapura – tetapi dikhuatiri sikap berdiam diri ini dianggap musuh satu langkah appeasement atau langkah mengalah; terutama oleh mana-mana anasir subversif pihak asing atau fifth columnists dari kalangan rakyat tempatan yang sudah pasti mempunyai agenda tersembunyi.

Segala dasar mahupun undang-undang kerahsiaan kerajaan sepatutnya digunakan untuk melindungi negara dan rakyat dari musuh – terutama musuh utama masyarakat antarabangsa masa kini, iaitu pergerakan Yahudi Zionis/Kristian Zionis antarabangsa – dan bukan untuk melindungi mana-mana pemimpin politik mahu pun birokrat dari rakyat yang sepatutnya mereka lindungi.

Lagipun aspek keselamatan dan kedaulatan negara merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi atas apa-apa alasan sekalipun kerana ia seharusnya mengatasi setiap individu atau institusi!!