Sejak akhir-akhir ini, hati nurani Atok menjadi semakin bimbang dan gusar dengan tingkah laku kalangan para pemimpin politik tempatan - baik di pihak pembangkang mahupun parti pemerintah Barisan Nasional - yang semakin cabul lagi galak bermain api perkauman dengan sewenang-wenangnya mengungkit isu-isu yang menyentuh sensitiviti sectarian. Anak cucu Atok yang rata-ratanya berpendidikan tinggi ini nampaknya mula bersikap terburu nafsu dan langsung tidak mengambil kira keperluan untuk meluhurkan Perlembagaan Negara. Tampaknya anak cucu Atok di dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama ini dah mula hilang pedoman. Agaknya inilah apa yang diumpama oleh nenek moyang Atok dulu sebagai "Kadok dah naik junjung" atau "Ikut hati mati, ikut rasa binasa." Itulah sebabnya selama ini Atok asyik konsisten menyuarakan pandangan yang semata-mata ingin mengingatkan anak cucu tentang racun berbahaya fahaman neo-liberalisme yang cuba ditanam oleh kalangan anasir subversif asing. Dengan perasaan hambar lagi kecewa atas fi'il tak semenggah anak cucu mutakhir ini, berikut disiarkan kenyataan rasmi seorang kaum kerabat blogger Atok dari kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, Datuk Ruhanie Haji Ahmad, atau nama timangan beliau Ron (http://www.kuda-kepang.blogspot.com/), selaku Ketua Penerangan Pertubuhan Bumiputera Perkasa (PERKASA) - sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan kepentingan Bumiputera, khususnya orang Melayu - mengenai apa yang dikatakan oleh Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai. Kenyataan yang dikeluarkan semalam (Rabu 29hb Oktober, 2008) ini telah direstui oleh YB Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden PERKASA.
Si Bongkok
Mutakhir ini terdapat beberapa pihak yang seolah-olah sengaja bertindak untuk memprovokasi kesabaran Bumiputera dan mempertikaikan semangat Fasal 152 dan Fasal 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Terbaru sekali, Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai, telah dilaporkan oleh pelbagai media perdana pada 28 Oktober 2008, sebagai telah meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam bagi memastikan ia terus bersaing.
Liow juga dipetik sebagai berkata pada 27 Oktober 2008, bahawa “ekuiti perlu dibuka, berikan kelonggaran agar sesebuah syarikat itu berdaya maju dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang semakin meruncing.”PERKASA amat kesal dengan kenyataan di atas.
Ia adalah satu tindakan ekstrim oleh pihak yang seolah-olah buta sejarah, sengaja cuba memprovokasi perasaan Bumiputera seluruhnya, dan dengan terang-terang mempertikaikan Fasal-Fasal tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu juga hanya mencerminkan ketidakbijaksaan dan kedangkalan minda segelintir barisan kepimpinan baru MCA dalam memahami serta menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan, terutamanya yang termaktub dalam Fasal 152 dan Fasal 153.
Oleh itu, PERKASA memberi amaran keras kepada pemimpin MCA terbabit dan pihak-pihak lain yang kini cuba menyemarakkan sentimen perkauman di kalangan rakyat Malaysia pelbagai keturunan, agama, budaya dan latarbelakang ekonomi, supaya jangan ulangi apa jua kenyataan atau tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan dan ketahanan nasional.
PERKASA juga mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memecatkan Liow daripada kabinet negara dengan seberapa segera. Mana-mana individu yang tergamak mempersoalkan semangat Fasal 152 dan Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan tidak layak dan tidak boleh diizinkan berada dalam Jemaah Menteri Malaysia.
Liow juga wajar dikenakan tindakan ini kerana beliau juga telah meminggirkan nasihat Majlis Raja-Raja Melayu mengenai kontrak sosial yang terkandung dalam satu kenyataan rasmi baru-baru ini.
Terima kasih.Ruhanie Ahmad
Ketua Penerangan Perkasa.