25 Januari 2012

Shahbudin dot com: Najib Sukar Tawan Selangor, Calon MB Pun Masih Tia...

Shahbudin dot com: Najib Sukar Tawan Selangor, Calon MB Pun Masih Tia...: Sempena Tahun Baru Cina semalam, saya berkesempatan berkunjung dan bertemu dengan beberapa rakan dari kaum Cina yag menjalankan perniagaan d...

23 Januari 2012

PRU 13: UMNO-BN perlu elak imej desperado

Oleh Johari Ismail

Dalam lipatan sejarah konflik politik di kebanyakan negara mutakhir ini, rejim memerintah yang merasa kian tertekan akibat penentangan popular rakyat kebanyakan, atau dari kepentingan pembangkang, lazimnya akan bersikap lebih desperate dan ganas dari pihak penentang.

Seperti yang terbukti dalam apa yang popular digelar Kebangkitan Musim Bunga 2011 (Arab Spring 2011) di kalangan rakyat kebanyakan di beberapa buah negara Arab, semakin meningkatnya penentangan dari rakyat, maka semakin galak pemerintah mempertingkat penggunaan segala sumber negara yang ada, termasuk yang di luar batas undang-undang dan Perlembagaan, bagi menumpas secara ganas segala kebangkitan.

Putaran keganasan ini lazimnya akan lambat launmenyalakan api pemberontakan menyeluruh dari massa rakyat yang pasti sukar dipadam, walaupun berhadapan dengan segala jentera keselamatan negara yang berada di pihak pemerintah.

Senario seperti inilah yang perlu dielakkan di negara kita, walaupun setakat ini pucuk kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO tampaknya masih punyai kemahuan politik untuk terus berpegang kepada lunas-lunas demokrasi dan berusaha untuk mengenalpasti segala kepincangan dan mereformasi pelbagai bidang kehidupan bernegara di Malaysia.

Namun demikian, apa yang dikhuatiri adalah tindakan segelintir penyokong parti memerintah yang sejak akhir-akhir ini nampaknya mula menunjukkan sikap reactionary berlebihan dan melulu dengan menonjolkan trend provokasi ala samseng jalanan yang penuh unsur keganasan politik terhadap pihak pembangkang.

Sehubungan itu, tindakan sekumpulan ahli jemaah masjid Kampung Pandan, yang dikatakan pro-UMNO, melontar batu bata interlocking ke arah peserta demonstrasi menentang pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 20hb Januari lepas, dan selang beberapa hari lepas itu, tindakan oleh apa yang didakwa sebagai segerombolan penyokong UMNO menyerang ceramah oleh kumpulan ABU (Anything But UMNO) di Jalan Kebun, Kelang – bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan demi keperluan begitu menekan untuk memelihara keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.

Kalangan rakyat yang masih berpegang teguh dan menyokong perjuangan UMNO-BN untuk terus membina sebuah negara bangsa yang aman, makmur dan sejahtera, perlu melihat perkembangan ini dengan penuh waspada dan tidak seharusnya menyokong sebarang tindakan politik yang berbentuk keganasan di kedua-dua pihak kerajaan mahpun pembangkang..

Politik provokasi “ganas balas ganas” atau “an eye for an eye” di kalangan penyokong Parti pemerintah, atau mereka yang sekadar memaparkan diri sebagai penyokong kerajaan atas kepentingan tertentu, inilah yang diharapkan oleh mana-mana kumpulan subversif dan anti-nasional bagi membantutkan usaha kepimpinan negara masa kini yang diterajui Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan dan menambah baik segala aspek pentadbiran negara dari kepincangan kepimpinan kerajaan sebelumnya.

Ingat, mana-mana perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah melalui kaedah di luar peti undi seperti yang berlaku di rantau Arab hingga ke hari ini tidak akan berjaya tanpa wujudnya martyr atau korban berdarah. Dan korban berdarah di pihak pembangkang inilah yang perlu dielakkan oleh kepentingan BN dan UMNO.

Dalam usaha menebus prestasi suram dalam Pilihanraya Umum Mac 8 2008 dulu, adalah menjadi antara kepentingan utama BN dan UMNO untuk mengelakkan diri dari terperangkap di dalam imej pihak desperado yang sanggup berbuat apa sahaja demi memenangi Pilihanraya Umum Ke 13 dengan majoriti yang lebih meyakinkan, atau sekurang-kurangnya dari terus tumpas di tangan Pakatan Rakyat pihak pembangkang.

22 Januari 2012

Mahathir’s Rule-by-Proxy

This posting is a necessary reply to a comment by one Tanpa Nama on a preceding posting, Telur Tembelang “Mahathirisme” Pecah di India

Dear Tanpa Nama…to trust is to look out for that rare, persistent and independent close watchers of Mahathir's political wranglings throughout the years; right from the day he began to re brand himself as a saviour of the Malays circa May 13th 1969 via the scarcely empirical study of the racial blood-lettings, The Malay Dilemma (the Mahathir's Mein Kampf or Das Kapital, if you may, is slightly better than the average "surat layang" political gossips of UMNO sub-culture, post-the Party’s deregisteration in1986. In fact, the book was penned in just a matter of days at a house owned by one Arshad, whom in many instances Mahathir has privately claimed to be the father of late local pop idol Sudirman in Section 16, Petaling Jaya), right up to the present.

My friend Tanpa Nama, to be sure is also to trace how this shrewd believer in the Machiavellian philosophy of ends justifying means manages to wiggle his way up UMNO's heirarchy by a combination of mere dogmas and rhetorics, and by deftly “eliminating” Party stalwarts that pose potential threats to his ambition. In strategizing his political blitzkrieg (that includes elimination of potential rivals; people like Musa Hitam, Tengku Razaleigh and Anwar Ibrahim) the now so-called statesman knew all along that adopting and disseminating the right combination of dogmas and rhetorics is a sure-fire ways to catch the imaginations of the Malay masses with their simplistic and staunchly feudalistic outlook towards life (especially the teeming mass of UMNO grassroots in the kampungs that’s constantly egged on to follow the “Mahathirism” line by UMNO’s apparatchiks in the rural areas that comprised school teachers, Kemas, and Penerangan extension officers as well as occassional brainwashings and indoctrinations at Biro Tatanegara’s work camps, apart from the usual Party controlled media, notwithstanding his ownership-by-proxy of Astro’s pay TV network).

Tanpa Nama, I’ve yet to mention how Mahathir have already created a symbiosis of cybertroopers to serve his seemingly immortal political and business ambitions, way before Prime Minister, Dato Sri Mohd Najib had begun his lately, but I don’t think its practical to do so for the time being.

However, to sum it all up, thanks to his decades of meddling and riding shotgun on the back of UMNO’s Kebangsaan Melayu, Mahathir has achieved an uneering knack for that almost impossible political art of control-by-proxy in furtherance of his covert ideology ie. he need not pay or patronize anyone to do the political dirty jobs for him.

Mahathir is a one man CIA Secret Team, with or without him realizing it. And “Mahathirism” is a back-door ideology that’s somehow managed to gain support riding on the popular and proven Malay Nationalism of UMNO; of course, the UMNO that’s deregistered in 1986.

The teeming mass of support for UMNO or Orang UMNO, is now beginning to realize that all these years of Mahathir’s political wranglings are merely in furtherance of his dark cult of leader-worship and illegal ideology; the man’s political words and deeds are being increasingly proven to be mere folly; ones that’s insidiously but surely alienating the Party from the silent majority;

It is thus, within the interests of all Orang UMNO, to eventually want him, or any of his remaining disciples, out of the theater for good, come the 13th General Elections.

For in the face of that crucial general elections, Orang UMNO and the rakyats at large must learn to delicately sift precious little diamonds hidden in the midst of broken glasses.

21 Januari 2012

Telur tembelang “Mahathirisme” pecah di India

Ketika dalam lawatan ke India bulan lepas, Tun Dr Mahathir Mohamaed telah mengeluarkan satu kenyataan yang mendakwa bahawa sistem demokrasi adalah penghalang bagi pembangunan di negara demokrasi terbesar di dunia itu. Benar atau tidak, apa yang pasti kenyataan dari mantan Perdana Menteri Malaysia Ke 4 itu boleh dianggap aneh dan telah menimbulkan ironi. Ketika berada di puncak kepimpinan politik di Malaysia dulu, beliau jelas kelihatan berpegang kepada prinsip kebebasan mana-mana negara untuk mengamalkan demokrasi mengikut acuan masing-masing. Beliau juga terkenal kerana prinsip menentang campur tangan asing dalam urusan politik dalaman mana-mana negara yang berdaulat lagi merdeka. Justeru, kenyataan yang dianggap tidak bertanggungjawab dari bekas PM itu ketika dalam rangka lawatannya ke India telah mendapat kecaman hebat dari kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negara tersebut. Kecaman paling lantang dan bernas datangnya dari seorang penulis bebas dan aktivis politik dari negeri Maharashtra, Siddharthya Swapan Roy.

Walaupun Roy seorang warga asing tetapi segala apa yang disebut beliau tentang legasi kepimpinan politik Tun Dr Mahathir – walaupun diakui sesetengah fakta yang beliau utarakan mengenai Malaysia tidak begitu tepat – tetapi dari sudut pandangan persepsi umum itulah yang sejak akhir-akhir ini kerap saya utarakan di laman Facebook sebagai “Mahathirisme” – suatu legasi fahaman politik pentadbiran negara yang dianuti secara senyap-senyap melalui pintu belakang oleh UMNO sejak dari kepimpinan Perdana Menteri yang ke 4 dan Presiden Parti yang ke 5 itu yang sama sekali bertentangan dengan semangat asal ideologi Kebangsaan Melayu Parti yang menjadi tonggak kepada kerajaan Barisan Nasional. Sebagaimana berkuburnya ayahanda Tun Dr Mahathir, arwah Mohamed Iskandar Kutty di negeri Kerala, India begitulah juga negara di benua kecil di India ini bakal dikenali dalam lipatan sejarah sebagai bermula pecahnya telur tembelang busuk ideologi haram Mahathirsme yang telah selama ini begitu parah mencacatkan persepsi orang ramai terhadap parti keramat UMNO.

Berikut adalah kecaman Roy terhadap Dr Mahathir yang yang sempat saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu:


Dear Dr Mahathir,

Beberapa hari yang lepas, saya terbaca satu laporan akhbar yang menyebut Tuan sebagai berkata bahawa demokrasi seperti yang diamalkan di India adalah batu penghalang terhadap pembangunannya, dan kami (negara India) hanya akan mencapai kemajuan jika dapat menghapuskan kebejatan sistem demokrasi yang diamalkan selama ini.

Untuk itu, saya merasa agak terharu dengan keperihatian Tuan terhadap masa depan negara kami. Bagi kami penduduk India, berita yang mengatakan bahawa ada pihak asing yang perihatin terhadap pembangunan di negara kami sudah tentu merupakan sesuatu yang indah didengar.

Namun demikian, walaupun Tuan mungkin mempunyai niat yang baik dalam teguran yang dibuat terhadap negara kami itu, tetapi ternyata teguran itu adalah berasaskan nasihat yang tak betul.

Mungkin saya tak mempunyai pengetahuan yang tepat tentang sedalam mana pengetahuan yang Tuan miliki mengenai sejarah negara kami. Tetapi berasaskan hakikat (dari pengamatan Roy) bahawa akhbar di negara Tuan adalah hampa berita; tiada apa-apa-apa yang dipersembahkan melainkan nyanyian dan tarian di dalam media elektronik di negara Tuan; begitu kurangnya kedai buku yang menjual buku-buku ilmiah (misalnya, buku-buku yang boleh dimanafaatkan dalam menimba ilmu tentang sejarah dan bukan yang mengajar pembaca bagaimana untuk menjadi jutawan segera hanya dengan enam langkah); bercambahnya gedung membeli-belah berbanding dengan begitu kurangnya perpustakaan; bercambahnya pusat latihan bagi tukang urut, peramugari dan juruteknik segera, berbanding institusi pengajian tinggi, terutama yang menawarkan pengajian di dalam disiplin sains kemasyarakatan; dan, menyedari bahawa segala kegilaan masyarakat konsumer dan hedonis yang terdapat di Malaysia ini bermula di bawah kepimpin Tuan, saya mula merasa agak ragu setakat mana pengetahuan Tuan tentang sejarah India mahupun sejarah mana-mana negara di dunia ini.
Jadi, izinkanlah saya menjelaskan tentang sejarah kemerdekaan negara kami.

Kami mencapai kemerdekaan dari penjajah setelah melalui pahit getir perjuangan yang begitu panjang. Perjuangan kami adalah bagi menumpaskan satu rejim penindas, tidak adil dan ganas yang telah sekian lama membelenggu kehidupan rakyat di India, dan menggantikannya dengan kerajaan yang diasaskan oleh prinsip kebebasan, persamaan, persaudaraan.

India dari dulu hingga kini adalah sebuah masyarakat benar-benar majmuk yang dihuni oleh rakyat dari pelbagai keturunan, kepercayaan yang bertutur dalam pelbagai bahasa, mengikut pelbagai budaya, dan berpegang kepada pelbagai ideologi politik. Dalam kepelbagaian ini, kami berkata kepada satu sama lain: walaupun dalam suasana kepelbagaian, kita akan berusaha untuk berkongsi hidup dan menegakkan sebuah negara berdaulat yang terus menegakkan prinsip-prinsip demokrasi, sosialisme dan sekularisme.

Kami tidak pernah berkata bahawa kami mahu menjadi seperti Malaysia atau negara Cina, mahu pun Amerika Syarikat..

Di India, tiada sesiapa mengatasi undang-undang

Kami mahu menjadi sebuah negara yang mengamalkan sistem yang menjamin persamaan semua golongan rakyat; bukan seperti di negara Tuan yang secara rasminya mempruntukkan hak istimewa golongan Melayu-Islam dengan menganggap mereka sebagai rakyat kelas pertama sambil merendah-rendahkan taraf rakyat dari keturunan Tamil, Cina dan pelbagai kumpulan etnik yang lain.

Walaupun mereka (golongan bukan Melayu-Islam) ini menganggap Malaysia sebagai negara mereka sendiri, Tuan telah merendah-rendah martabat mereka dengan menganggap mereka sebagai golongan rakyat kelas kedua.

Kami (di India) sedang berusaha menegakkan suatu sistem di mana seseorang itu dinilai mengikut merit atau mengikut apa yang mampu mereka lakukan.

Tuan mungkin sukar untuk mempercayai jika dikatakan bahawa kebanyakan kami rakyat di India memandang rendah dan menolak sebarang usaha untuk menilai seseorang atau sesuatu golongan itu berasaskan identiti bangsa, seperti penarafan bumiputera yang diinstitusikan di negara Tuan.

Di negara kami, sebarang usaha mempromosi kepentingn diri atau keluarga dianggap amalan korupsi dan nepotisme; bukan seperti di negara Tuan yang menganggap itu pembangunan.

Dalam hal ini, kami sedang giat berusaha membasmi amalan rasuah, dan (Tuan pasti sukar mempercayainnya) menghukum mereka yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang yang berkenaan. Di India, tiada sesesiapa mengatasi undang-undang, dan terdapat ramai tokoh berkuasa yang terpaksa menerima hukuman kerana terlibat dalam amalan rasuah atau tidak menghormati undang-undang.

Memandangkan Tuan juga yang memulakan debat tentang perbezaan antara pembangunan dan demokrasi, saya yakin adalah menjadi sesuatu perkara yang menarik untuk mengetahui apakah pandangan golongan minoriti di negara Tuan – terutama mereka yang tertindas dan terpenjara – mengenai perkara ini.

Dalam hal ini, perlu saya perkatakan bahawa, pandangan Tuan mengenai pembangunan pada umumnya adalah sama sekali bertentangan dengan kami di India.

Pembangunan bukan galang ganti kepada nilai

Apa yang telah dilakukan terhadap hutan tropika dan sumber air di Malaysia (yakni, dengan memusnahkan beribu-ribu ekar kawasan hutan dan sumber air untuk memberi laluan kepada ladang kelapa sawit, ladang ternakan babi dan sebagainya) pasti akan menimbulkan kemarahan massa rakyat jika perkara tersebut berlaku di India yang majoriti rakyatnya perihatin terhadap konsep pembangunan mampan.

Kami masih belum dapat diyakinkan bahawa membina jalan bersimen – walau selebar manapun, membina bangunan di sepanjangnya, walaupun bagaimana berkilau sekalipun bangunan berkenaan, dan membenarkan kereta menggunakannya, walau selaju mana pun kenderaan itu – tidak dapat menyamai betapa pentingnya dipelihara kepelbagaian kehidupan alam semula jadi.

Kami di India terlalu berkeyakinan bahawa tindakan menempatkan semula sejumlah besar penduduk dari tempat asal mereka demi memberi laluan kepada pembinaan prasarana membazir seperti litar lumba kereta, merupakan satu usaha yang mencacatkan istilah “pembangunan” dari erti kata sebenarnya.

Walaupun terdapat tidak kurang banyaknya aktiviti pelancongan seks di negara Tuan dan industri berkenaan diklankan secara terbuka, tetapi dalam pada masa yang sama masih terdapat kaum wanita yang dikenakan hukum sebatan atas kesalahan seks dan lain-lain aktiviti maksiat. Ini bagi kami suatu kemunafikan yang amat mengaibkan.

Ramai di kalangan kami rakyat India mengetahui tentang kecenderongan Tuan untuk bersikap zalim di dalam kerjaya peribadi (ketika menjadi Perdana Menteri). Suatu kerjaya di mana Tuan terlibat dalam pelbagai tindakan yang kadangkala bersifat kuku besi dan ganas atas nama Islam (yang Tuan fahami secara songsang), dan pada ketika yang lain pula atas alasan keselamatan dan kepentingan negara.

Kami menyedari bagaimana Tuan berjaya memanjat anak-anak tangga ke puncak menara kuasa dengan menghapuskan ramai dari kalangan yang menjadi batu penghalang, hingga dapat terus bertahan selama lebih dua dekad, dengan pemerintahan berasaskan taktik dan perancangan yang jauh mengatasi falsafah munafik Machiavelli

Ramai juga dari kalangan kami yang mengetahui tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri yang masih berkuatkuasa di negara Tuan, dan bagaimana undang-undang itu diperalatkan bagi melenyapkan tentangan dari pembangkang – mengurung mereka dan menggantikan pembangkang dengan suatu versi demokrasi yang lemah dan caca merba.

Tuan mungkin menyedari setakat ini kecenderongan saya (melalui makalah protes ini) untuk menggunakan ayat “kebanyakan kami” atau “ramai dari kami” dan, untuk mengelak dari membuat dakwaan yang melampau..

Pemahaman yang songsang terhadap pembangunan

Budaya masyarakat di India turut terdapat unsur menerima kepelbagaian dari segi pendapat dan pandangan. Atas fakta inilah saya ingin perkatakan bahawa terdapat juga kalangan rakyat di negara kami yang punyai pendapat dan pandangan seperti Tuan, dan yang mungkin akan memberikan sokongan terhadap apa telah Tuan utarakan mengenai negara mereka.

Mereka juga mungkin berpandangan bahawa jalanraya adalah lebih penting dari insan yang menggunakannya atau tidur di pinggirnya.

Golongan warga India yang berfikiran seperti Tuan ini juga telah menganggap istilah pembangunan sebagai pembangunan kekayaan individu dan “pembangunan” seperti ini dianggap sebagai “lembu suci” yang mengatasi segala-galanya termasuk hak dan kehidupan sesama insan..

Dengan menguasai harta kekayaan, segelintir golongan minoriti yang berpemikiran sama dengan Tuan di India ini mampu memaparkan diri sebagai golongan majoriti semata-mata atas kekayaan yang dimiliki dan dipergunakan untuk membeli ruangan di media cetak mahupun di alam siber.

Majoriti kalangan kami rakyat di India sentiasa bersedia untuk mengakui atau berbincang secara panjang lebar bahawa India memang menghadapi pelbagai masaalah (dari segi pembangunan), termasuk masalah prasarana jalanraya yang masih belum sempurna..

Namun demikian, kami juga tidak akan teragak-agak mempertahankan hakikat bahawa India tidak mungkin akan mengatasi masalah pembangunannya dengan mengurangkan amalan demokrasi..

20 Januari 2012

Berubah atau jumud?...Persoalan yang dilangkau masa

Pada 9hb Januari lalu, yakni pada hari yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan, rakan facebook saya, cendekiawan dan penganalis politik tersohor negara, Farish A. Noor telah posting satu analisis politik berbahasa Inggeris yang menarik di wall beliau tentang senario politik negara pasca 901. Berikut adalah posting berkenaan yang sempat saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu.


Oleh Farish A Noor
Sebelum keputusan membebaskan Anwar Ibrahim, saya telah sekian lama tidak mempunyai sebab untuk berterima kasih dan menaruh perasaan optimistik terhadap negara kita Malaysia; tetapi hari ini (ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar), saya izinkan diri sendiri untuk mengambil sedikit sikap optimistik.

Ekoran itu juga, ada pihak berpendapat adalah terlalu awal untuk mengisytihar bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang benar untuk mencapai satu reformasi (terhadap institusi kehakiman di negara ini), walaupun saya merasa lega bahawa tuduhan terhadap Anwar telah diketepikan atas alasan tak dapat digunakan oleh Mahkamah bagi mensabitkan beliau.

Beberapa dekad dari sekarang, mungkin ada pihak yang bakal menerbit filem cereka (untuk pasaran filem peringkat global) mengenai Anwar. Walaupun menyedari bahawa Anwar dan Malaysia bukan termasuk dalam golongan individu atau negara yang layak mendapat perhatian seperti itu di peringkat global, tetapi perlu juga diakui bahawa tidak begitu ramai orang berkesempatan melalui apa yang pernah beliau (Anwar) lalui, termasuk kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh anggota keluarga terdekat beliau. Semata-mata atas nasib yang menimpa Anwar sejak tahun 1998 inilah maka saya mengambil sikap bersimpati terhadap beliau. Filem cereka mengenai kisah hidup Anwar itu bakal dipenuhi drama dan ketegangan serta berkemampuan menitiskan air mata penonton; dan, sesungguhnya (dari segi realiti kes Anwar ini) boleh dikatakan bahawa tidak begitu ramai orang mampu bertahan begitu lama menjadi teraju utama dalam sesuatu situasi dramatik berpanjangan; dan di dalam suasana yang tidak begitu membanggakan.

Namun demikian: Keyakinan saya (terhadap masa depan institusi kehakiman di Malaysia) adalah berasaskan kepada hakikat bahawa apa yang berlaku hari ini sebagai suatu Kes Mengekalkan kuasa 101; yakni sebuah kerajaan yang memerintah merasa begitu tertekan dan menghadapi masa depan yang gelap atas hakikat bahawa masyarakat yang diperintah selama ini telah menjadi lebih cerdik dan matang, dan tidak lagi mudah dimomok oleh sejarah silam. Mereka yang bersikap sinis mungkin menolak keputusan yang dibuat mahkamah hari ini sebagai reaksi sebuah rejim yang cuba mempertahankan diri dari kritikan yang semakin meluas; tak mengapalah (biarkanlah golongan sinis ini berpandangan sedemikian). Sekurang-kurangnya, pandangan dari golongan sinis ini dapaat menguatkan lagi tesis saya bahawa rejim yang memerintah di serata pelosok dunia masa kini perlu akur terhadap keperluan untuk membawa pembaharuan atau terus lenyap ditelan zaman.

Bagaimanapun, semua ini sudah pun menjadi cerita lama; dan sebagai seorang yang “berminda struktur,” saya berkesempatan melihat berulangkali berlakunya perkara ini di kalangan negara yang pernah dijajah. Sejak berlakunya kebangkitan rakyat di beberapa buah negara Arab pada musim bunga yang lalu, media di peringkat global sebuk memberi spekulasi bahawa keadaan itu akan melimpah hingga ke seluruh dunia, termasuk Asia. Harap dapat dihentikan spekulasi seperti ini. Ternyata bahawa kebangkitan rakyat seperti yang dihadapi di rantau Arab itu bukan merupakan sesuatu yang baru.

Lama sebelum dunia dikejutkan dengan fenomena Arab Spring 2011 itu, kebangkitan rakyat di Indonesia telah mengakibatkan jatuhnya rejim Suharto sekitar Mei-Jun 1998; dan sedekad sebelumnya, kejatuhan rejim Ferdinand Marcos di Filipina. Dalam kesemua kes-kes ini, terdapat beberapa persamaan dari segi struktur penyebab: Golongan elit yang memerintah di negara yang pernah dijajah di serata Asia, Afrika Utara, Afrika dan dunia Arab mendapat kuasa pada sekitar tahun 1950-an ketika fenomena kemerdekaan dari penjajahan merebak ke serata pelosok dunia; justeru golongan elit tempatan ini dilihat secara umumnya sebagai penyelamat kepada negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan itu. .

Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Lihat sahajalah amalan korupsi dan salahguna kuasa golongan nasionalis di Algeria (sebaik memegang tampok pemerintahan di negara Afika Utara itu ekoran kemerdekaan dari penjajahan Perancis). Lihat juga sikap megalomania (sejenis kegilaan yang membuatkan seseorang itu mempunyai kepercayaan yang keterlaluan tentang betapa pentingnya diri sendiri; atau kuasa yang dimiliki), dan ketaksuban terhadap individu pemimpin di kalangan di negara-negara rantau Arab dan Asia Selatan; sebagai contohnya, di Pakistan apabila Zulfikar Ali Bhutto kelihatan menganjurkan demokrasi tetapi pada ketika yang sama membina sepasukan tentera peribadi bagi melindungi kepentingan politik beliau.

Juga, lihat sahajalah kegelojohan kalangan elit memerintah di Thailand, Indonesia dan Filipina yang sanggup “merompak” kekayaan negara masing-masing sambil beria-ria bercakap tentang kebaikan pasaran bebas serta pembangunan, dan ketika yang sama mengumpul beg tangan dan kasut mewah yang cukup untuk mengisi beberapa buah pasaraya. Kini, kebejatan dan kepincangan oleh kompleks OKB – kompleks Orang Kaya Baru, seperti yang menjadi gelaran umum di Indonesia – telah juga sampai ke negara kita Malaysia. Kalangan rakyat kebanyakan di negara kita kini, mempunyai cerita yang tersendiri tentang beg tangan yang telah membangkitkan imaginasi.

Apa yang dilakukan oleh rejim memerintah di kalangan negara yang pernah dijajah ini punyai beberapa bibit persamaan di antara satu dengan yang lain: Mereka menganggap kuasa sebagai hak peribadi dan menghadkan kuasa yang dimiliki hanya di kalangan oligarki (dari bahasa Inggeris – oligarchy: segelintir elit yang memiliki kesemua kuasa politik di dalam sesebuah negara) yang kian hari kian menguncup; mereka mengagih-agih kekayaan dan kemewahan di kalangan anggota keluarga dan kroni tertentu; sambil memperagakan segala kekayaan itu di kalangan rakyat kebanyakan yang tidak punyai kemampuan memilikinya. Sesungguhnya, antara ciri paling menyerlah di sebalik pemerintahan oligarki di kalangan negara yang pernah dijajah adalah amalan kapitalisme yang tidak terkawal dan kegelojohan untuk mengaut kekayaan materi; justeru membawa kepada kesan sampingan dari segi ketidakseimbangan dan kepincangan kuasa politik mahupun ekonomi.

Atas hakikat inilah Imelda Marcos kini tidak lagi dipuji kerana koleksi beg tangan serba mewah beliau yang ternyata amat mengagumkan itu, malah dibenci oleh rakyat kebanyakan yang tidak pun mampu membeli beras. Perkara yang sama turut berlaku bagi keluarga Suharto dan juga ramai kalangan elit pemerintah di negara-negara lain yang pernah terjajah.
Dalam kegilaan untuk mengumpul harta kekayaan, mengukuhkan kuasa dan mengupayai diri sendiri, golongan elit memerintah inilah yang memperkenalkan, dan kemudiannya, memperluaskan jurang kaya miskin di kalangan massa yang diperintah. Keadaan ini menjadikan golongan massa yang kian miskin semakin terputus dari sistem masyarakat bernegara.

Akhirnya, berlakulah apa yang disebut “piramid ketidaksaksamaan”; di mana tahap kecuraman berada pada kadar yang kian menegak, hingga mencapai ke tahap di mana mereka yang berada di luar sistem “rangkaian” dan “keutamaan” tidak dapat tidak merasakan tiada apa lagi yang tinggal buat mereka. Saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana kalangan mahasiswa di Jakarta sanggup bertindak melontar batu bata dan kayu kepada setiap kereta Mercedes atau BMW mewah yang kebetulan lalu lalang ketika mereka berdemonstrasi untuk menjatuhkan rejim Suharto sekitar lewat tahun 1990-an dulu; kerana kereta-kereta mewah berkenaan adalah menjadi simbol kebencian mereka terhadap segelintir elit pemerintah yang menyebabkan massa rakyat dibelenggu kemiskinan .

Apa pun, kebanyakan elit memerintah di negara yang pernah dijajah lazimnya gagal untuk melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka hinggalah apabila keadaan telah sampai ke tahap kritikal. Ini berlaku kerana mereka tidak mampu melihat lebih jauh dari kad-kad kredit yang dimiliki serta barang serta perkhidmatan yang mampu dimiliki melaluinya. Dengan lain perkataan, walaupun telah lama mencapai kemerdekaan, budaya politik kita di kalangan negara yang pernah dijajah masih tetap jumud pada entiti kacukan yang terdiri dari alat-alat permodenan yang disalahgunakan, dan dikuasai oleh minda feudal tegar.

Dalam keadaan ini, adalah menjadi kelaziman bagi setiap diktator murahan mengidamkan kapal layar mewah, jet peribadi, rumah serba mewah dan perempuan gundek yang sanggup mengekor ke sana ke mari (atau disimpan dengan selamat di blok-blok apartmen mewah di Orchard Road, Singapura).Isteri sah masing-masing tak kurang hebatnya. Nafsu dan kegelojohan sang isteri dalam berbelanja, kadangkalanya ketika negara yang diperintah oleh sang suami sedang mengalamai kemelesetan ekonomi, adalah luar biasa dan boleh dikatakan menghampiri kepada suatu gejala penyakit.

Sama ada kita suka atau sebaliknya, massa rakyat yang telah sebegitu lama terputus dari kuasa yang dimiliki oleh segelintir elit pemerintah dan merasakan diri tidak mampu lagi bersabar kerana terlalu lama terpinggir inilah yang lambat laun bakal membawa kita lebih hampir kepada suatu perubahan sosial yang besar. Persoalannya sekarang: Cukup kah masa bagi kita di Malaysia untuk mencapai perubahan secara reformasi? Saya bukan seorang ahli nujum dan tidak punyai jawapan bagi persoalan ini (terus terang saya katakan bahawa jika saya terus mata, justeru berkemampuan menilik masa depan negara dan masyarakat kita, tak perlulah saya terus terpaksa berpuas hati dengan skim gaji sebagai seorang guru yang diterima hingga ke hari ini).

Saya tetap berpendirian bahawa perubahan pasti akan datang; sama ada dari dalam mahupun luar. Atau pun secara serentak dari dalam dan luar. Bagaimanapun, apa yang pasti dan jelas adalah sekurang-kurangnya institusi kuasa yang usang di negara ini tampaknya sedang mula menyesuaikan dengan realiti di persekitaran mereka. Sebagai insan yang terlalu kepenatan (dan sedang menghadapi masalah jantung) kerana saban tahun melihat pelbagai karenah dan kebejatan di kalangan elit kepimpinan kita, hakikat terkini yang menunjukkan mereka, sekurang-kurangnya, sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran adalah, bagi saya, ibarat suatu keajaiban.

Apa pun yang bakal terjadi, sekurang-kurangnya dapat diyakini bahawa semuanya – atau sekurang-kurangnya sesuatu – akan bergerak. Pergerakan, dan perubahan selalunya adalah petanda paling positif tentang masih adanya harapan bagi kita sebagai rakyat di sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka.
Habis