20 Januari 2012

Berubah atau jumud?...Persoalan yang dilangkau masa

Pada 9hb Januari lalu, yakni pada hari yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tuduhan meliwat pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan, rakan facebook saya, cendekiawan dan penganalis politik tersohor negara, Farish A. Noor telah posting satu analisis politik berbahasa Inggeris yang menarik di wall beliau tentang senario politik negara pasca 901. Berikut adalah posting berkenaan yang sempat saya terjemahkan ke dalam bahasa Melayu.


Oleh Farish A Noor
Sebelum keputusan membebaskan Anwar Ibrahim, saya telah sekian lama tidak mempunyai sebab untuk berterima kasih dan menaruh perasaan optimistik terhadap negara kita Malaysia; tetapi hari ini (ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar), saya izinkan diri sendiri untuk mengambil sedikit sikap optimistik.

Ekoran itu juga, ada pihak berpendapat adalah terlalu awal untuk mengisytihar bahawa Malaysia sedang berada di landasan yang benar untuk mencapai satu reformasi (terhadap institusi kehakiman di negara ini), walaupun saya merasa lega bahawa tuduhan terhadap Anwar telah diketepikan atas alasan tak dapat digunakan oleh Mahkamah bagi mensabitkan beliau.

Beberapa dekad dari sekarang, mungkin ada pihak yang bakal menerbit filem cereka (untuk pasaran filem peringkat global) mengenai Anwar. Walaupun menyedari bahawa Anwar dan Malaysia bukan termasuk dalam golongan individu atau negara yang layak mendapat perhatian seperti itu di peringkat global, tetapi perlu juga diakui bahawa tidak begitu ramai orang berkesempatan melalui apa yang pernah beliau (Anwar) lalui, termasuk kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh anggota keluarga terdekat beliau. Semata-mata atas nasib yang menimpa Anwar sejak tahun 1998 inilah maka saya mengambil sikap bersimpati terhadap beliau. Filem cereka mengenai kisah hidup Anwar itu bakal dipenuhi drama dan ketegangan serta berkemampuan menitiskan air mata penonton; dan, sesungguhnya (dari segi realiti kes Anwar ini) boleh dikatakan bahawa tidak begitu ramai orang mampu bertahan begitu lama menjadi teraju utama dalam sesuatu situasi dramatik berpanjangan; dan di dalam suasana yang tidak begitu membanggakan.

Namun demikian: Keyakinan saya (terhadap masa depan institusi kehakiman di Malaysia) adalah berasaskan kepada hakikat bahawa apa yang berlaku hari ini sebagai suatu Kes Mengekalkan kuasa 101; yakni sebuah kerajaan yang memerintah merasa begitu tertekan dan menghadapi masa depan yang gelap atas hakikat bahawa masyarakat yang diperintah selama ini telah menjadi lebih cerdik dan matang, dan tidak lagi mudah dimomok oleh sejarah silam. Mereka yang bersikap sinis mungkin menolak keputusan yang dibuat mahkamah hari ini sebagai reaksi sebuah rejim yang cuba mempertahankan diri dari kritikan yang semakin meluas; tak mengapalah (biarkanlah golongan sinis ini berpandangan sedemikian). Sekurang-kurangnya, pandangan dari golongan sinis ini dapaat menguatkan lagi tesis saya bahawa rejim yang memerintah di serata pelosok dunia masa kini perlu akur terhadap keperluan untuk membawa pembaharuan atau terus lenyap ditelan zaman.

Bagaimanapun, semua ini sudah pun menjadi cerita lama; dan sebagai seorang yang “berminda struktur,” saya berkesempatan melihat berulangkali berlakunya perkara ini di kalangan negara yang pernah dijajah. Sejak berlakunya kebangkitan rakyat di beberapa buah negara Arab pada musim bunga yang lalu, media di peringkat global sebuk memberi spekulasi bahawa keadaan itu akan melimpah hingga ke seluruh dunia, termasuk Asia. Harap dapat dihentikan spekulasi seperti ini. Ternyata bahawa kebangkitan rakyat seperti yang dihadapi di rantau Arab itu bukan merupakan sesuatu yang baru.

Lama sebelum dunia dikejutkan dengan fenomena Arab Spring 2011 itu, kebangkitan rakyat di Indonesia telah mengakibatkan jatuhnya rejim Suharto sekitar Mei-Jun 1998; dan sedekad sebelumnya, kejatuhan rejim Ferdinand Marcos di Filipina. Dalam kesemua kes-kes ini, terdapat beberapa persamaan dari segi struktur penyebab: Golongan elit yang memerintah di negara yang pernah dijajah di serata Asia, Afrika Utara, Afrika dan dunia Arab mendapat kuasa pada sekitar tahun 1950-an ketika fenomena kemerdekaan dari penjajahan merebak ke serata pelosok dunia; justeru golongan elit tempatan ini dilihat secara umumnya sebagai penyelamat kepada negara-negara yang baru mencapai kemerdekaan itu. .

Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Lihat sahajalah amalan korupsi dan salahguna kuasa golongan nasionalis di Algeria (sebaik memegang tampok pemerintahan di negara Afika Utara itu ekoran kemerdekaan dari penjajahan Perancis). Lihat juga sikap megalomania (sejenis kegilaan yang membuatkan seseorang itu mempunyai kepercayaan yang keterlaluan tentang betapa pentingnya diri sendiri; atau kuasa yang dimiliki), dan ketaksuban terhadap individu pemimpin di kalangan di negara-negara rantau Arab dan Asia Selatan; sebagai contohnya, di Pakistan apabila Zulfikar Ali Bhutto kelihatan menganjurkan demokrasi tetapi pada ketika yang sama membina sepasukan tentera peribadi bagi melindungi kepentingan politik beliau.

Juga, lihat sahajalah kegelojohan kalangan elit memerintah di Thailand, Indonesia dan Filipina yang sanggup “merompak” kekayaan negara masing-masing sambil beria-ria bercakap tentang kebaikan pasaran bebas serta pembangunan, dan ketika yang sama mengumpul beg tangan dan kasut mewah yang cukup untuk mengisi beberapa buah pasaraya. Kini, kebejatan dan kepincangan oleh kompleks OKB – kompleks Orang Kaya Baru, seperti yang menjadi gelaran umum di Indonesia – telah juga sampai ke negara kita Malaysia. Kalangan rakyat kebanyakan di negara kita kini, mempunyai cerita yang tersendiri tentang beg tangan yang telah membangkitkan imaginasi.

Apa yang dilakukan oleh rejim memerintah di kalangan negara yang pernah dijajah ini punyai beberapa bibit persamaan di antara satu dengan yang lain: Mereka menganggap kuasa sebagai hak peribadi dan menghadkan kuasa yang dimiliki hanya di kalangan oligarki (dari bahasa Inggeris – oligarchy: segelintir elit yang memiliki kesemua kuasa politik di dalam sesebuah negara) yang kian hari kian menguncup; mereka mengagih-agih kekayaan dan kemewahan di kalangan anggota keluarga dan kroni tertentu; sambil memperagakan segala kekayaan itu di kalangan rakyat kebanyakan yang tidak punyai kemampuan memilikinya. Sesungguhnya, antara ciri paling menyerlah di sebalik pemerintahan oligarki di kalangan negara yang pernah dijajah adalah amalan kapitalisme yang tidak terkawal dan kegelojohan untuk mengaut kekayaan materi; justeru membawa kepada kesan sampingan dari segi ketidakseimbangan dan kepincangan kuasa politik mahupun ekonomi.

Atas hakikat inilah Imelda Marcos kini tidak lagi dipuji kerana koleksi beg tangan serba mewah beliau yang ternyata amat mengagumkan itu, malah dibenci oleh rakyat kebanyakan yang tidak pun mampu membeli beras. Perkara yang sama turut berlaku bagi keluarga Suharto dan juga ramai kalangan elit pemerintah di negara-negara lain yang pernah terjajah.
Dalam kegilaan untuk mengumpul harta kekayaan, mengukuhkan kuasa dan mengupayai diri sendiri, golongan elit memerintah inilah yang memperkenalkan, dan kemudiannya, memperluaskan jurang kaya miskin di kalangan massa yang diperintah. Keadaan ini menjadikan golongan massa yang kian miskin semakin terputus dari sistem masyarakat bernegara.

Akhirnya, berlakulah apa yang disebut “piramid ketidaksaksamaan”; di mana tahap kecuraman berada pada kadar yang kian menegak, hingga mencapai ke tahap di mana mereka yang berada di luar sistem “rangkaian” dan “keutamaan” tidak dapat tidak merasakan tiada apa lagi yang tinggal buat mereka. Saya sendiri pernah menyaksikan bagaimana kalangan mahasiswa di Jakarta sanggup bertindak melontar batu bata dan kayu kepada setiap kereta Mercedes atau BMW mewah yang kebetulan lalu lalang ketika mereka berdemonstrasi untuk menjatuhkan rejim Suharto sekitar lewat tahun 1990-an dulu; kerana kereta-kereta mewah berkenaan adalah menjadi simbol kebencian mereka terhadap segelintir elit pemerintah yang menyebabkan massa rakyat dibelenggu kemiskinan .

Apa pun, kebanyakan elit memerintah di negara yang pernah dijajah lazimnya gagal untuk melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka hinggalah apabila keadaan telah sampai ke tahap kritikal. Ini berlaku kerana mereka tidak mampu melihat lebih jauh dari kad-kad kredit yang dimiliki serta barang serta perkhidmatan yang mampu dimiliki melaluinya. Dengan lain perkataan, walaupun telah lama mencapai kemerdekaan, budaya politik kita di kalangan negara yang pernah dijajah masih tetap jumud pada entiti kacukan yang terdiri dari alat-alat permodenan yang disalahgunakan, dan dikuasai oleh minda feudal tegar.

Dalam keadaan ini, adalah menjadi kelaziman bagi setiap diktator murahan mengidamkan kapal layar mewah, jet peribadi, rumah serba mewah dan perempuan gundek yang sanggup mengekor ke sana ke mari (atau disimpan dengan selamat di blok-blok apartmen mewah di Orchard Road, Singapura).Isteri sah masing-masing tak kurang hebatnya. Nafsu dan kegelojohan sang isteri dalam berbelanja, kadangkalanya ketika negara yang diperintah oleh sang suami sedang mengalamai kemelesetan ekonomi, adalah luar biasa dan boleh dikatakan menghampiri kepada suatu gejala penyakit.

Sama ada kita suka atau sebaliknya, massa rakyat yang telah sebegitu lama terputus dari kuasa yang dimiliki oleh segelintir elit pemerintah dan merasakan diri tidak mampu lagi bersabar kerana terlalu lama terpinggir inilah yang lambat laun bakal membawa kita lebih hampir kepada suatu perubahan sosial yang besar. Persoalannya sekarang: Cukup kah masa bagi kita di Malaysia untuk mencapai perubahan secara reformasi? Saya bukan seorang ahli nujum dan tidak punyai jawapan bagi persoalan ini (terus terang saya katakan bahawa jika saya terus mata, justeru berkemampuan menilik masa depan negara dan masyarakat kita, tak perlulah saya terus terpaksa berpuas hati dengan skim gaji sebagai seorang guru yang diterima hingga ke hari ini).

Saya tetap berpendirian bahawa perubahan pasti akan datang; sama ada dari dalam mahupun luar. Atau pun secara serentak dari dalam dan luar. Bagaimanapun, apa yang pasti dan jelas adalah sekurang-kurangnya institusi kuasa yang usang di negara ini tampaknya sedang mula menyesuaikan dengan realiti di persekitaran mereka. Sebagai insan yang terlalu kepenatan (dan sedang menghadapi masalah jantung) kerana saban tahun melihat pelbagai karenah dan kebejatan di kalangan elit kepimpinan kita, hakikat terkini yang menunjukkan mereka, sekurang-kurangnya, sedang cuba untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran adalah, bagi saya, ibarat suatu keajaiban.

Apa pun yang bakal terjadi, sekurang-kurangnya dapat diyakini bahawa semuanya – atau sekurang-kurangnya sesuatu – akan bergerak. Pergerakan, dan perubahan selalunya adalah petanda paling positif tentang masih adanya harapan bagi kita sebagai rakyat di sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka.
Habis

2 ulasan:

Wak Jebon berkata...

Semua yang ditulis Dr Farish benar dan dah lama diketahui orang. Masalahnya, yang masih tak sedar orang amno. Kalau sedar pun masih jumud.

Cucu Musa Hitam berkata...

Sebelum terlambat, sudah sampai masanya bagi anggota akar umbi untuk mereformasi mana-mana yang jumud di dalam Parti mengikut gagasan "political game-changer" Dato' Sri Presiden kita. Para pemimpin yang duduk di sekeliling pemimpin nombor satu kita itu tiada masa untuk memikirkan hal-hal yang serius seperti ini dalam kegilaan mereka untuk mengaut seberapa banyak harta kekayaan negara menjelang PRU 13.