21 November 2007

AGENDA TERSEMBUNYI DI SEBALIK WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI)

Bahagian Ketiga

Memang sejak dari peringkat gagasan, Singapura dilibatkan sepenuhnya dalam cadangan asal South Johor Economic Region (SJER); sebelum gagasan itu diperbesarkan menjadi WPI.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dr. Vincent Lim yang mendapat pendidikan awalnya di Singapura, merupakan tokoh perancang strategik utama di sebalik SJER.

Peranan beliau adalah bagi melibatkan Singapura sepenuhnya dalam cadangan asal SJER, sebelum gagasan pembangunan ekonomi tersebut diperbesarkan menjadi WPI. Dengan ini, WPI dijangka membawa limpahan pembangunan pesat ekonomi bagi tanpa sebarang sekatan.

Justeru, hasrat ini dilaksanakan melalui cadangan untuk membawa Singapura sebagai rakan dialog, penggubal dasar dan juruperunding khusus bagi WPI.

Perkara ini diputuskan semasa Dato’ Seri Abdullah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawat dari Singapura, Brig. Gen. (NS) Lee Shien Loong di Langkawi pada 14 Mei 2007.

Dipetik dari Utusan Malaysia 15 Mei 2007:

Pertemuan kedua Abdullah-Hsien Loong

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN dan MUHD. NIZAM HAMID

LANGKAWI 14 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong tiba di sini hari ini bagi mengadakan pertemuan tidak rasmi sempena lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Singapura itu.

Walaupun tidak ada agenda khusus ditetapkan, kedua-duanya yang dijadual mengadakan pertemuan empat mata dalam slot sarapan pagi esok dijangka mengambil kesempatan membincangkan pelbagai isu yang menarik perhatian kedua-dua negara, sekali gus merintis jalan ke arah rundingan serius bagi menyelesaikan isu dua hala yang tertangguh sejak sekian lama.

“Kedua-dua pemimpin tidak terikat dengan agenda rasmi, oleh itu mereka dijangka bebas memperkatakan dan menyentuh semua subjek tanpa batasan.

“Terpulang kepada kedua-duanya untuk menentukan (topik perbincangan) dengan mengambil kesempatan daripada suasana mesra dan harmoni yang kini terjalin. Hubungan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Singapura memang cukup baik,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika ditanya mengenai agenda pertemuan itu pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini, hari ini.

Ini merupakan kali kedua Abdullah dan Hsien Loong mengadakan pertemuan dua hala sejak pertemuan pertama khusus membincangkan isu-isu tertangguh kedua-dua negara di Putrajaya tahun lalu.

Perjumpaan tidak rasmi kali pertama antara dua pemimpin itu diadakan tahun lepas apabila Abdullah melakukan kunjungan singkat ke republik itu bagi menyertai perlawanan golf persahabatan.

Malaysia dan Singapura mempunyai beberapa isu yang masih belum diselesaikan yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan dua hala termasuk harga air mentah yang dijual ke republik itu, pembangunan tanah milik KTMB di Singapura, pengeluaran Wang Simpanan Pusat (CPF), penggunaan ruang udara Malaysia oleh tentera udara republik itu dan projek jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun.

Dalam temu bual dengan akhbar Singapura, The Straits Times yang disiarkan hari ini, Abdullah dilaporkan menggesa supaya rundingan disambung semula untuk menyelesaikan isu-isu tertangguh antara Malaysia dan Singapura.

Walaupun tidak mahu menetapkan sebarang tempoh mengenai bila isu berkenaan patut diselesaikan, Perdana Menteri yakin ia boleh diadakan dalam suasana penuh persefahaman jika dibuat dengan ikhlas, apatah lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura sama ada dari segi ekonomi mahupun interaksi kini bertambah baik.

Menurut Syed Hamid, Singapura selaku rakan pelaburan terbesar Malaysia menunjukkan minat untuk terlibat dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Selatan Johor.

Pertemuan empat mata antara Abdullah dan Hsien Loong esok akan disusuli dengan mesyuarat delegasi kedua-dua negara melibatkan 28 anggota termasuk Syed Hamid; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman.

Abdullah dan Hsien Loong bersama delegasi kedua-dua negara kemudiannya akan menghadiri jamuan makan tengah hari di atas kapal persiaran Mega Star Cruise di terminal Star Cruise di Awana Porto Malai.

Perdana Menteri bersama Hsien Loong kemudiannya dijadual mengadakan sidang akhbar bersama di akhir pertemuan mereka petang esok.
Malam ini, Abdullah meraikan rakan sejawatnya pada majlis makan malam di Restoran Ikan-ikan di Hotel Four Seasons.

Pelbagai reaksi negatif timbul selepas pertemuan dan ketetapan bersama Singapura ini
termaktub dan dipersetujui.

Dipetik dari blog Dato’ A Kadir Jasin “The Scribe” (www.kadirjasin.blogspot.com):
Tahniah kepada kedua-dua Perdana Menteri. Dengan pemulihan yang begitu ketara hubungan dua-hala itu, kita bolehlah mengharapkan penyelesaian kepada isu-isu tertangguh yang kebanyakannya memihak kepada Singapura.

Ini termasuklah pembekalan air mentah dengan harga yang sangat murah kepada Singapura, tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Singapura dan simpanan rakyat Malaysia yang tersangkut di dalam Central Provident Fund (CPF) Singapura.

Dan siapa tahu mungkin isu penentangan Singapura terhadap pembinaan Jambatan Bengkok dalam wilayah kedaulatan Malaysia juga boleh diatasi segera.

Tapi Hsein Loong dari awal-awal lagi membuat helah dengan mengatakan bahawa isu tertangguh sukar diselesaikan.

Perkembangan ini, mengingatkan blogger tua seperti saya mengenai tahun-tahun awal Pembangunan Luar Bandar ketika mana negara kita begitu daif sehingga terpaksa meminta bantuan negara-negara luar.

Sebab itulah kita ada Rancangan Felda Kampung New Zealand kerana negara itu memberikan bantuan teknikal membuat kajian awal projek berkenaan.

Itu pun kerajaan kita pada waktu itu amat waras dan cukup berhati-hati meminta bantuan luar demi menjaga keselamatan dan maruah negara.

Oleh sebab itulah ia memberi keutamaan kepada kerjasama dengan agensi pembiayaan antarabangsa seperti Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Islam dan bukan dari negara individu.

Berita lain yang penting ialah kenaikan 15 sekilo harga tepung gandum yang berupa barangan kawalan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Shafie Apdal berkata kenaikan itu tidak dapat dielakkan.

Siapa pengedar utama tepung gandum di negara kita?

Menteri Kewangan Kedua, Nor Mohamed Yakcop pula berkata fokus Belanjawan 2008 ialah menjaga golongan "Makan Gaji" agar tidak dibenani kenaikan harga barang.

Apa hal orang yang tidak makan gaji, tidak ada gaji, yang bersara, kerja sendiri atau menganggur?

Kenyataan mengenai penubuhan jawatankuasa khas bersama diperingkat Menteri Malaysia-Singapura mengenai plan berstruktur yang bakal dilaksanakan IDRA.

Selain dari itu akhabr Utusan Malaysia keluaran 15 Mei 2007 ada menyiarkan laporan berikut:

Malaysia-Singapura tubuh jawatankuasa khas WPI

Oleh Marhaini Kamaruddin dan Muhd. Nizam Abd. Hamid

LANGKAWI 15 Mei – Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas peringkat menteri khusus untuk Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang antara tugas awalnya adalah memperincikan penggunaan kad pintar bagi memudahkan pergerakan keluar masuk orang ramai dari republik itu ke wilayah berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh menteri tertentu dari kedua-dua negara mengikut isu atau bidang kerjasama yang hendak dibincangkan dan dilaksanakan.

“Menteri terlibat akan memperincikan keputusan-keputusan yang dibuat semasa perbincangan dua hala. Misalnya, dalam isu kad pintar ia perlu meliputi pelbagai aspek termasuk siapa yang akan menggunakannya dan bagaimana memastikan ia tidak mudah diklon.

“Apa yang penting, kita mahu kad pintar itu mudah digunakan dan dapat mempercepatkan urusan keluar masuk bagi kedua-dua negara,” katanya pada sidang akhbar di sini selepas mengucapkan selamat jalan kepada rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong yang berlepas pulang petang ini.

Perdana Menteri Singapura itu berada di pulau legenda ini sejak semalam untuk pertemuan tidak rasmi selama dua hari yang dimulai pagi ini dengan sarapan pagi empat mata, mesyuarat delegasi, sidang akhbar bersama, jamuan tengah hari di atas kapal Star Cruises di Terminal Star Cruise Awana Porto Malai dan diakhiri dengan acara menikmati durian yang dibawa khas dari Balik Pulau, Pulau Pinang.

Abdullah mengulangi bahawa langkah mempermudahkan pergerakan keluar masuk dari Singapura itu merupakan satu daripada insentif kepada pelabur dan pelawat ke WPI yang bertujuan melancarkan urusan imigresen.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan itu bukan bermakna pengunjung asing bebas keluar masuk WPI tanpa pasport seperti yang dilaporkan sebelum ini, sebaliknya urusan mereka dipermudahkan dengan penggunaan kad pintar tersebut.

Selain itu, Perdana Menteri memberitahu, antara bidang lain yang akan diberi tumpuan oleh jawatankuasa khas berkenaan ialah kerjasama pelancongan seperti memasukkan kunjungan ke taman tema yang akan dibuka di WPI dalam pakej pelancong asing yang melawat Singapura dan mempercepatkan urusan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Terdahulu dalam sidang akhbar bersama dengan Hsien Loong, Abdullah berkata, Malaysia menyambut baik minat yang ditunjukkan oleh Singapura untuk memainkan peranan aktif dalam pembangunan WPI.

Perdana Menteri memberitahu, Singapura turut menawarkan bantuan dalam projek alam sekitar seperti kerja-kerja pembersihan sungai di kawasan selatan Johor.

Abdullah turut mengambil kesempatan daripada pertemuan itu untuk memaklumkan kepada Hsien Loong tentang projek-projek ekonomi yang akan dilaksanakan di negara ini seperti Koridor Utara dan Timur serta WPI bagi melihat potensi kerjasama antara kedua-dua negara.

“Kita mahu melihat WPI berjaya dan pembangunannya berjalan lancar agar setanding dengan Hong Kong dan Shenzen di China,” katanya sambil berharap peluang itu akan diambil oleh pelabur dari seluruh negara termasuk Singapura.

Mengenai isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara, Abdullah bersetuju dengan Hsien Loong bahawa ia merupakan isu lama yang sukar untuk diselesaikan.

Justeru, beliau berkata, Malaysia dan Singapura tidak mahu menjadikan isu-isu tersebut sebagai penghalang dalam menjalin kerjasama dalam bidang lain yang cukup penting untuk dilaksanakan oleh kedua-dua negara.

Menurutnya, perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara akan diteruskan malah Hsien Loong juga telah mempelawa beliau datang ke Singapura bersama beberapa menteri kabinet bagi melihat kerjasama yang boleh dilakukan dan mengeratkan lagi hubungan dua hala.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kedua-dua negara menyatakan komitmen terhadap pembentukan Piagam ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura Julai ini.

Berdasarkan pelbagai kenyataan umum si atas, maka timbul keperluan untuk memperjelaskan bahawa pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura bukanlah berkenaan isu tertangguh yang melibatkan kepentingan Malaysia dan Singapura; seperti isu Jambatan Mengantikan Tambak Johor, Pulau Batu Putih (Pedra Branca) dan isu penjualan air ke Singapura.

Perkara ini amat jelas berdasarkan laporan Utusan Malaysia 19 Mei 2007:

Pertemuan bukan susul isu tertangguh

Oleh: RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – Pertemuan tidak rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Langkawi Selasa lalu bukan susulan rundingan isu-isu tertangguh dua hala kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, ia merupakan mekanisme dialog dan interaksi bagi menilai semula aspek lain dalam hubungan dua hala yang memerlukan penglibatan peringkat tertinggi.

‘‘Kita tidak patut mengehadkan pertemuan dua hari itu kepada rundingan susulan dua hala sahaja.

‘‘Singapura berminat untuk menceburi lebih banyak bidang ekonomi walaupun ada isu tertangguh yang belum diselesaikan namun ia memerlukan mekanisme berbeza. Ini akan dipandu oleh Perdana Menteri kita,’’ katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di sini hari ini.

Selasa lalu, Abdullah dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengadakan pertemuan tidak rasmi selama dua hari di pulau legenda Langkawi.

Pada sidang akhbar selepas pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas peringkat menteri Malaysia dan Singapura khusus untuk Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor.

Katanya, jawatankuasa itu akan menunggu hala tuju daripada Abdullah mengenai bentuk dan spesifikasi tugas mereka.

‘‘Ia ditubuhkan bukan untuk menangani isu tertunggak tetapi lebih kepada perluasan
cara-cara bekerjasama untuk manfaat bersama,’’ ujarnya.

Ditanya mengenai isu jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang sudah pun berusia 80 tahun, Syed Hamid berkata, projek jambatan itu penting dan ia patut disambungkan dengan sistem pengangkutan MRT bagi manfaat Singapura dan WPI.

‘‘Jambatan itu penting bagi kita kerana kita mahu memberikan wajah yang berbeza kepada pintu selatan yang juga perlu menampung banyak trafik.

‘‘Para pemimpin menunjukkan itulah yang mereka mahu dan ia merupakan proses ‘memecah ais’ dalam isu ekonomi serta menghidupkan semula semangat positif antara kedua-dua belah pihak,’’ katanya.

Namun begitu, beliau menegaskan, meskipun isu itu disebut dalam pertemuan di Langkawi, ia tidak bermakna perbincangan mengenainya telah bermula.

Sebelum itu Syed Hamid mengadakan sidang akhbar mengenai mesyuarat Proses Helsinki pertama di Malaysia dan Dialog Meja Bulat Mengenai Urus Tadbir Global yang akan diadakan di Hotel Istana di sini pada Isnin dan Selasa depan.

Menurut beliau, program tersebut yang dimulakan pada 2002 oleh kerajaan Finland dan Tanzania bertujuan menggembleng pandangan dari negara-negara maju dan membangun.

‘‘Sebanyak lima tajuk utama akan dibincangkan dalam dialog itu iaitu kemiskinan dan pembangunan, keamanan dan keselamatan, sumber manusia, urus tadbir dan alam sekitar.

‘‘Dengan kehadiran hanya 70 wakil kerajaan, para pemikir strategi, ahli akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, perbincangan secara bebas dan tidak formal akan diadakan agar ia dapat melahirkan idea dan rumusan untuk mempengaruhi tindakan kerajaan serta menyelesaikan masalah urus tadbir,’’ katanya.

Sebanyak 11 negara menjadi rakan Proses Finland iaitu Algeria, Brazil, Kanada, Mesir, Hungary, Malaysia, Mexico, Afrika Selatan, Sepanyol, Thailand dan United Kingdom.

Malaysia, kata beliau, akan membincangkan empat tajuk iaitu urus tadbir global, sistem perdagangan, seni bina kewangan antarabangsa dan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam konteks ekonomi serta agenda sosial.

‘‘Saya dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz akan mempengerusikan dua daripada empat sesi tersebut,’’ ujar Syed Hamid.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya cadang bila habis siri WPI ini atok kumpul semua siri dan jadikan risalah untuk tabur kepada semua ahli dan pemimpin UMNO di Johor. Kawan dengar atok sekarang disegani orang UMNO di Johor. Tentu dia orang tak sabar nak dengan pandangan SiBongkok samaran yang benar-benar menujukkan semangat juang Si Bongkok dalam lagenda.

Tanpa Nama berkata...

The top investigator for the JFK murder investigation, Jim Garrison was once quoted as having said: "If a lie is too big, it becomes real." And in the case of the Bodollah regime, its the Asian greatest scam of the century.