Bahagian Lima
Dalam mempertahankan WPI, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ada memberikan alasan bahawa projek pembangunan wilayah di selatan Semenanjung itu sebagai sebahagian dari langkah proaktif kerajaan untuk mengatasi ketidaksamaan ekonomi di Malaysia.
Langkah proaktif bagi mengatasi jurang ekonomi yang dimaksudkan oleh beliau itu adalah langkah menerapkan rangkaian nilai secara mampu bersaing dan berkekalan berpandukan modal insan yang terbaik sambil langkah meluaskan pembangunan ke setiap ceruk melalui pengwujudan koridor pertumbuhan di utara, timur dan selatan Semenanjung Malaysia selain dari di Sabah dan Sarawak.
Namun jika dihalusi perancangan ke arah merealisasikan WPI langkah proaktif yang dimaksudkan itu sebenarnya tidak memihak kepada syarikat, perusahaan dan usahawan tempatan, terutama golongan Melayu dan lain-lain kaum bumiputra.
Memang selama ini pun, yakni ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pendekatan proaktif yang diambil dianaggap berjaya kerana rata-ratanya memberikan keutamaan kepada syarikat, perusahan dan usahawan tempatan, terutama golongan bumiputra.
Dua langkah proaktif bagi mewujudkan kesaksamaan ekonomi ini telah digariskan oleh Perdana Menteri ketika berucap dalam satu majlis makan malam sempena Persidangan Ketua-Ketua Eksekutif Antarabangsa anjuran majalah perniagaan terkemuka dunia, Forbes, semasa mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada 11 September 2007.
Dipetik Utusan Malaysia 12 September 2007:
PM garis dua perkara atasi ketidaksamaan ekonomi
Daripada MOWARDI MAHMUD
SINGAPURA 11 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggariskan dua perkara yang perlu dilakukan untuk mengatasi ketidaksamaan ekonomi dan kesedaran serta pendedahan terhadap Malaysia yang perlu dilakukan secara serentak.
Pertama, kata Perdana Menteri, Malaysia harus bergerak di atas rangkaian nilai secara mampu bersaing dan berkekalan berpandukan modal insan yang terbaik. Kedua, kata Abdullah, lebih banyak pertumbuhan dan pembangunan harus dipastikan berlaku di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu sekitar Kuala Lumpur semata-mata.
“Dengan berada di atas rangkaian nilai dan meluaskan pembangunan ke setiap ceruk merupakan satu usaha yang amat kompleks tetapi saya yakin kita melakukan dengan betul. Bagi Malaysia dan Asia Tenggara, ini merupakan masa yang sangat menarik,” kata beliau.
Abdullah menambah, matlamat-matlamat berkenaan bersama-sama ciri-ciri tertentu menguatkan pendekatan diambil iaitu untuk memajukan koridor pertumbuhan di utara, timur dan selatan Semenanjung Malaysia selain Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptama pada majlis makan malam sempena penganjuran Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Forbes yang diadakan selama tiga hari mulai semalam. Persidangan itu dihadiri oleh lebih 400 pemimpin perniagaan seluruh dunia merupakan yang ketujuh dianjurkan oleh Forbes.
Abdullah berkata, tempoh 50 tahun akan datang membawa tahap keadaan yang berbeza sama sekali sepertimana juga isu yang dihadapi oleh CEO syarikat-syarikat dalam mengasuh dan menarik modal manusia dan menjadikan diri lebih cekap dan berkesan.
Katanya, melihat kepada cabaran yang besar, tiada siapa yang menjangkakan prospek yang ada ketika Malaysia mula merdeka pada tahun 1957 tahun lalu tetapi di sebalik keadaan luar biasa telah mencapai pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam tahap kehidupan.
“Identiti nasional yang jelas telah berjaya dilahirkan dan hari ini negara mempunyai ekonomi yang dinamik dengan entiti politik yang stabil dan bersatu, kami bernasib baik dengan pendekatan yang diambil itu kerana ia menjadi,” kata Perdana Menteri.
Abdullah juga berkata, di sebalik kelebihan semula jadi, Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) tidak menjadi perhatian sehinggalah Malaysia mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan tarikan melalui langkah-langkah pembukaan pasaran terutama dengan menawarkan insentif dalam bidang-bidang tertentu seperti pembangunan hartanah.
Katanya, dengan pembukaan perniagaan multinasional di WPI dan kedekatannya dengan Singapura berpotensi untuk menjadi sebuah pembangunan yang menarik iaitu kemunculan metropolis baru di Asia.
“Sekiranya Hong Kong dan Shenzen menjadi simbol pintu masuk ke Asia Utara, Singapura dan WPI mewakili laluan kosmopolitan ke ASEAN selain menjadi persimpangan antara India dan China yang membawa makna yang besar kepada industri perkhidmatan sejagat,” kata Perdana Menteri. – Utusan
Dengan kewujudan WPI seperti yang kita dapat fahamkan melalui siri rencana mengenai wilayah pembangunan penuh kontroversi ini, syarikat, perusahaan dan usahawan tempatan ini, terutama golongan Melayu dan lain-lain kaum bumiputra akan terpaksa bersaing dengan syarikat syarikat gergasi antarabangsa dan serantau yang mempunyai modal dan kepakaran besar serta jaringan sokongan yang luas dan komprehensif di pasaran terbuka.
Keadaan ini sudah tentu mengakibatkan pemain industri tempatan mengalami kesukaran untuk bersaing dengan pemain serantau mahu pun global.
Memang dasar Kerajaan Barisan Nasional mengariskan ‘Kemakmuran Cara Malaysia’ sebagai cara melaksanakan sebarang dasar Kerajaan.
Namun demikian terdapat empat prasyarat penting yang perlu seiring dan sehaluan, pada tempo yang serupa.
Keempat-empat prasyarat ini telah digariskan Perdana Menteri melalui satu kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 17 Ogos 2007:
Kemakmuran cara Malaysia
Oleh RAJA LUVENA SHARIFUDDIN
KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara makmur dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta berdaya saing adalah hasil daripada pendekatan berhati-hati dalam pembangunan mengikut ‘Cara Malaysia’, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut Perdana Menteri, ‘Cara Malaysia’ menampilkan empat prinsip iaitu kestabilan politik, pembuatan dasar yang pragmatik, penumpuan kepada pembinaan keupayaan dan pelaksanaan yang selaras.Katanya, prinsip-prinsip itu telah memacu negara mengharungi pelbagai liku sejak mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu.
‘‘Dari hari-hari awal Perikatan hingga ke Barisan Nasional (BN) hari ini, kestabilan politik Malaysia dibina berasaskan perkongsian kuasa, kompromi dan toleransi yang ikhlas.
‘‘Malaysia juga tidak pernah bersifat ideologikal dalam isu pembangunan tetapi lebih berminat untuk mengangkat pelbagai strategi merentasi ideologi untuk menepati keperluan semasa.
‘‘Walaupun tidak terikat kepada mana-mana pemikiran ekonomi, semangat ikhlas pembuat dasar untuk melakukan yang terbaik untuk negara terus kekal,’’ kata Perdana Menteri dalam ucaptama pada Seminar Perincian 50 Tahun Pembangunan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Seminar dan syarahan makan tengah hari itu dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sulaiman Mahbob.Abdullah berkata, tumpuan negara dalam bidang infrastruktur dan pembangunan modal insan telah memberi faedah kepada Malaysia dan akan terus menjadi pemboleh utama untuk kejayaan akan datang.
‘‘Akhir sekali, pengalaman Malaysia menjadi nyata dengan tumpuan terhadap aspek pelaksanaan di mana kerajaan menikmati hubungan yang baik dengan sektor swasta.
‘‘Melalui konsep Persyarikatan Malaysia dan Perkongsian Pintar, sektor awam dan swasta telah memainkan peranan masing-masing dalam menggalakkan perkembangan Malaysia,’’ ujarnya.
Abdullah menegaskan, negara tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian itu kerana cabaran bakal dihadapi dalam bentuk globalisasi yang memaksa negara menjadi lebih berdaya saing.
Perdana Menteri dalam ucaptamanya menamakan beberapa strategi baru negara termasuk Misi Nasional yang menekankan kepentingan konsep tambah nilai.
Dari aspek ekonomi, katanya, konsep tersebut merujuk kepada keperluan negara meraih nilai maksimum daripada sumbernya yang terhad seperti dalam industri minyak kelapa sawit dan sumber manusia.
"Sebagai pemimpin, saya melihat masa saya sebagai Perdana Menteri sebagai peluang untuk menambah nilai kepada sumbangan pemimpin terdahulu.
‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kesemua kita memiliki tanggungjawab untuk menambah nilai bagi melakukan yang terbaik dalam peranan yang telah diberikan kepada kita,’’ ujar beliau.
Abdullah turut menekankan kepentingan peranan sektor awam menerusi penyertaan mereka sebagai peserta aktif dalam menjana proses pembangunan.
Katanya, peranan sektor awam merupakan asas kepada pertumbuhan Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor, Koridor Utara, Koridor Timur dan Koridor Pembangunan Sabah dan Sarawak.
‘‘Ketika kerajaan meneruskan peranannya sebagai fasilitator dan pemboleh pertumbuhan ekonomi, kita kini menjemput pelabur swasta untuk melabur dalam infrastruktur bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi di wilayah-wilayah tersebut.
‘‘Dengan melibatkan sektor swasta, kita boleh memastikan pelaburan yang perlu dilakukan dalam cara yang menguntungkan dan cekap,’’ jelas beliau.
Pendekatan ini, kata Perdana Menteri, turut ketara dalam konsep inisiatif kewangan swasta (PFI) yang mana kontraktor swasta diberi insentif untuk memastikan pembinaan dan penyelenggaraan fasiliti dijalankan menggunakan kaedah yang cekap kos.
‘‘Dalam kedua-dua contoh itu, objektif mereka adalah mengubah hubungan antara kerajaan dan sektor swasta serta memainkan kekuatan masing-masing sebagai rakan dalam proses pembangunan,’’ kata beliau.
Bercakap mengenai aspek pelaksanaan pula, Abdullah percaya kerajaan telah berjaya meningkatkan keupayaannya menerusi projek-projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) sebagai pemegang amanah pelaksanaan projek impak tinggi.
‘‘Pelaksanaan yang berjaya perlu bagi perancangan yang berkesan. Kerajaan komited dalam memastikan pelaksanaan RMK-9 berjalan lancar dan menurut perancangan,’’ ujarnya.
Berikut pula kenyataan Perdana Menteri Singapura Brig, Gen. (NS) Lee Hsien Loong atas isu yang sama.
Dipetik oleh Utusan Malaysia pada 12 Ogos 2007:
Hsien Loong: Kerjasama ekonomi ikut rentak Malaysia
SINGAPURA 11 Ogos – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, kerjasama Singapura-Malaysia, yang disifatkannya sebagai baik, akan bergerak mengikut tahap yang dirasakan selesa oleh Malaysia.
Beliau berkata, ini termasuklah kerjasama ekonomi dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang kedua-dua negara sudah pun menubuhkan satu jawatankuasa bersama peringkat menteri.
“Kami akan membiarkan Malaysia untuk memimpin. Saya berasa ini merupakan satu perancangan yang praktikal dan dalam bidang lain, saya fikir kita patut bergerak sedemikian juga,” katanya kepada wartawan Malaysia dan lapan negara anggota ASEAN yang menemuinya di istana di sini semalam.
“Jika tidak, sekiranya kami terlalu mendesak kemungkinan akan wujud beberapa tafsiran yang salah,” kata Lee dalam satu sesi media selama 40 minit yang merupakan sebahagian daripada program lawatan lima hari anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura sempena sambutan kemerdekaan ke-42 dan Hari ASEAN pada Selasa.
Beliau berkata, sektor swasta kedua-dua negara tahu dan boleh mencari peluang-peluang mereka sendiri dengan syarat hubungan kedua-duanya mesra.
“Dari segi kerajaan dengan kerajaan, kami perlu mencari bidang yang kedua-duanya mahu melaksanakan. Dalam WPI, kami sudah mengadakan jawatankuasa bersama peringkat menteri, bahkan semasa kami menubuhkan jawatankuasa itu, beberapa reaksi timbul di Malaysia,” katanya.
Mengulangi bahawa Singapura lebih suka untuk mempunyai kerjasama menang-menang dengan Malaysia, Lee berkata, ini terpulang sepenuhnya kepada Malaysia untuk memimpin kerana tidak mahu kerajaan pimpinannya disalah anggap.
Lee berkata, beliau berharap Malaysia dapat menerima apa sahaja keputusan terhadap pertikaian Pulau Batu Putih antara Singapura dan Malaysia yang akan diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague pada November.
“Jika keputusan itu memihak Singapura, saya harap Malaysia dapat menerimanya. Sekiranya keputusan itu memihak kepada Malaysia, saya pasti Singapura akan menerimanya,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia dan Singapura sudah menyelesaikan pertikaian terhadap projek penambakan yang dilakukan Singapura menerusi Tribunal Antabangsa
Mengenai Undang-Undang Laut (Itlos) di Hamburg dengan kedua-dua negara telah pun mengemukakan kes masing-masing dan mematuhi keputusan tribunal.
Beliau mengakui beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara bukanlah suatu yang mudah untuk diselesaikan oleh pemimpin terdahulu dan yang ada sekarang.
Katanya, jika mereka berkehendakkan isu itu diselesaikan segera, mereka boleh melakukannya menerusi undang-undang dan triti.Beliau tidak melihat suatu perkara spesifik yang perlu diselesaikan segera masa ini.– Bernama
Walaupun kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa pembangunan di WPI akan mengikut ‘acuan’ Malaysia dan Singapura tidak akan campur tangan untuk menentukan halatujunya , namun begitu perkara sebenar hanyalah “indah khabar dari rupa”.
Persoalannya sekarang, sekiranya penggubalan dasar dan perlaksanaan pragmatik bagi WPI akhirnya menjurus kepada menguntungkan kepentingan strategik kalangan asing, bagaimanakah rancangan pembangunan wilayah penuh kontroversi ini akan dapat akhirnya memberikan meletakan kepentingan bangsa dan tanahair, sebagaimana digariskan sebagai Misi Nasional, dapat dibela.
Penglibatan Singapura di dalam WPI pada hakikatnya adalah semata-mata atas keperluan untuk menjaga kepentingan strategik mereka.
Kepentingan strategik Singapura ke atas WPI amat jelas apabila mereka lebih kelihatan cenderong untuk memainkan peranan besar di dalam empat sektor khusus sahaja.
Dipetik dari Utusan Malaysia 24 Julai 2007:
Malaysia - Singapura tumpu empat bidang
JOHOR BAHRU 23 Julai – Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia dan Singapura mengenai Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang mengadakan mesyuarat pertamanya di sini hari ini bersetuju untuk menubuhkan empat kumpulan kerja dalam bidang-bidang terpilih.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan petang ini, keempat-empat bidang itu melibatkan usaha memudahkan pelepasan imigresen, mempertingkatkan perhubungan pengangkutan, kerjasama pelancongan dan kerjasama alam sekitar.
‘‘Keempat-empat kumpulan kerja yang terdiri daripada agensi berkaitan dari Malaysia dan Singapura akan mengenal pasti serta memberi tumpuan kepada projek- projek tertentu dalam bidang-bidang berkenaan,” kata kenyataan tersebut.
Mesyuarat selama dua jam yang berlangsung di Pulai Springs Resort di sini dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi dan Menteri Pembangunan Nasional Singapura, Mah Bow Tan.
Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Bersama Lembaga Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Menteri Pengangkutan Singapura, Raymond Lim. Mohd. Effendi dalam kenyataan bersama itu menyifatkan hasil mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut adalah positif.
‘‘Penubuhan empat kumpulan kerja tersebut merupakan asas kepada kerjasama yang lebih mendalam dan bermakna antara Malaysia dan Singapura terhadap potensi yang ditawarkan di WPI.
‘‘Kumpulan kerja ini bertujuan memudah dan melicinkan pergerakan rakyat, barangan dan pandangan bagi membolehkan Malaysia dan Singapura melengkapi satu sama lain berdasarkan kekuatan masing-masing,” jelas Mohd. Effendi.
Sementara itu, Bow Tan berkata, jawatankuasa bersama peringkat menteri berkenaan adalah tindakan susulan yang konkrit hasil rundingan pemimpin Malaysia dan Singapura di Langkawi pada Mei lalu.
‘‘Singapura berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan WPI dan yakin ia akan berjaya serta memanfaatkan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan bersama tersebut turut memberitahu, jawatankuasa peringkat menteri itu akan mengadakan mesyuarat keduanya Oktober ini.
‘‘Bagaimanapun, lokasi mesyuarat kedua masih belum diputuskan lagi,” menurut kenyataan itu.
Empat bidang yang mana Singapura mempunyai kepentingan khusus lagi strategic adalah pengangkutan, alam sekitar, pelancongan dan hal ehwal immigresen.
Republik pulau ini sememangnya pusat pengangkutan utama, terutama udara dan perkapalan di rantau ini.
Justeru penglibatan mereka di dalam WPI adalah, antara lainnya, bagi menentukan pengangkutan Malaysia melalui WPI akan memberi sokongan kepada industri pengangkutan mereka. Begitu juga halnya dengan industri pelancongan di WPI.
Ekonomi Singapura bergantung kepada industri pelancongan antarabangsa. Oleh demikian, mereka minat untuk menentukan WPI memberikan mereka sokongan dikehendaki dalam memantapkan lagi industri penting ini.
Alam sekitar merupakan ‘talian-hayat’ Singapura kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada Johor untuk kawasan tadahan hujan mereka. Oleh kerana itu, mereka sanggup berusaha dan menyumbang untuk menentukan kepetingan strategik mereka sungai yang membekalkan dan berpotensi sebagai bekalan air dipulih dan dikekalkan.
Pada masa ini Johor menjual air tanpa had siling kepada Singapura, melainkan air dari projek tadahan Sungai Johor pada kadar 250 juta gelen sehari. Namun begitu, Johor membeli semula air yang telah diproses dari Singapura pada had siling 250 juta gelen sehari.
Dalam soal immigresen pula, buat masa ini lebih 70,000 perkerja kolar biru dan pengeluaran industri perkilangan di republic berkenaan adalah rakyat Malaysia yang bakal turut bertumpu di WPI. Sekiranya proses immigresen di WPI dapat dipermudahkan, maka Singapura akan mendapat menafaat besar dari segi pasaran buruh dan pekerja separa mahir yang begitu besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan