Oleh Johari Ismail
KEPENTINGAN Keselamatan Negara dan peranan bidang kepolisan dalam urusan mentadbir Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka sedang mula diberikan penekanan semula secara serius.
Sejak mengambil alih teraju kepimpinan negara dari mantan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), pada awal tahun ini, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak nampaknya sedang jelas mula menitikberat hal ehwal Keselamatan Negara dan betapa pentingnya bidang kepolisan, khusus pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebagai instrumen dominan dalam menjamin keutuhannya.
Sejurus selepas dilantik Perdana Menteri pada 3 April 2009, beliau mula membuat kejutan dengan mengumumkan hasrat pentadbirannya untuk mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang penuh kontroversi.
Alasan yang diberikan terhadap pengkajian semula itu adalah bagi menyesuaikan undang-undang pencegahan itu dengan kehendak sezaman, demi menjamin Keselamatan Negara, khususnya dalam menangani ancaman terhadap Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam yang melibatkan kesejahteraan rakyat kebanyakan secara langsung.
Sejak diluluskan Parlimen pada tahun 1960 hinggalah ke hari ini, ISA kerap menerima kecaman hebat dari pelbagai pihak dari dalam dan luar negeri yang berpendapat undang-undang ini bertentangan dengan asas-asas prinsip demokrasi dan kononnya bersifat “arbitrary” atau sewenang-wenang dari segi perlaksanaannya serta luar biasa.
Bagaimanapun mantan Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussin yang merupakan ayahanda kepada Najib ada memberikan kenyataan bersejarah dalam mempertahankan ISA. Menurut beliau:
“...subversion is a threat against the security of the country and against constitued authority. It should, therefore, be the responsibility of the Government to deal with that threat.
“ The object of detention is to safeguard the security of the country and not to punish persons for crime. A person is detained for what it is considered he may reasonably be expected to try to do but not for what he is proved beyond doubt to have done. He is detained because he represents a risk to the security of the country.”
(...kegiatan subversif merupakan satu ancaman kepada kepada negara dan juga pihak yang berwajib. Justeru, adalah menjadi kewajipan Kerajaan untuk menangani ancaman sepertinya.
“ Tujuan penahanan (di bawah ISA) adalah bagi memelihara Keselamatan Negara dan bukan untuk menghukum seseorang itu atas jenayah yang dilakukan. Seseorang itu ditahan (dibawah ISA) atas keyakinan tentang sesuatu yang beliau dijangka lakukan dan bukan atas sesuatu yang telah sabit atau terbukti dilakukannya. Orang seperti ini ditahan kerana dianggap sebagai ancaman kepada Keselamatan Negara...”)
Langkah Najib melantik saudara sepupunya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ke portfolio Keselamatan Dalam Negeri (KDN), yang bertanggungjawab secara langsung ke atas birokrasi Keselamatan Negara serta PDRM, menguatkan lagi tanggapan para pemerhati tentang penekanan pentadbiran baru beliau terhadap hal ehwal Keselamatan Negara dan bidang kepolisan.
Begitu juga langkah melantik Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan Kedua, turut dilihat ada perkaitan dengan penekanan baru pentadbiran beliau terhadap Keselamatan Negara.
Husni yang juga merupakan timbalan kepada Najib ketika Perdana Menteri itu memegang portfolio Menteri Kewangan Pertama di bawah pentadbiran Pak Lah, lebih dikenali sebagai tokoh pelapis UMNO yang arif dari segi percaturan halus rejim globalisasi Barat terhadap keselamatan dan kedaulatan Malaysia dan juga masyarakat Dunia Ketiga yang sedang membangun.
Di dalam ucapan pada Sessi Kedua Parlimen Ke 10 pada 15 Februari 2000, beliau yang merangkap Ahli Parlimen Tambun, mendedahkan bahawa ekoran globalisasi, Malaysia turut tidak terlepas daripada menghadapi risiko terhadap Keselamatan dan Kedaulatannya.
Menurut beliau, apabila kalangan negara ASEAN, negara-negara Asia yang lain, Latin Amerika dan Eropah Timur menyerahkan kedaulatan ekonomi dan politik kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya akibat percaturan elemen globalisasi Barat, Malaysia yang masih mempertahankan kedaulatannya menjadi sendirian dalam dunia antarabangsa.
“Apabila sistem ekonomi terbuka tajaan WTO dilaksanakan berperingkat-peringkat di seluruh dunia bermula tahun 2005, adakah Malaysia juga akhirnya akan menyerahkan kedaulatan ekonomi dan politik kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya?,” tanya Husni.
Perlu ditekankan di sini bahawa bidang Keselamatan Negara di Malaysia bukan sekadar memelihara negara dan masyarakat dari ancaman yang datang dari Parti Komunis Malaya, aktiviti pengganas dan pelampau agama atau kaum; malah skopnya adalah lebih luas dari itu.
Ini dapat dilihat dari langkah kerajaan meminda ISA pada tahun 1971/1972 yang bukan sahaja bertujuan membendung ancaman komunis, anasir-anasir subversif dan juga keganasan terancang tetapi juga mencakupi keperluan untuk membanteras “gangguan kepada perkhidmatan perlu” dan “gangguan terhadap kehidupan ekonomi negara.”
Pindaan yang dibuat ketika pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak itu merupakan asas kepada perlaksanaan undang-undang ISA di bawah pentadbiran era globalisasi yang diwarisi oleh anakanda sulung beliau.
Segala perkembangan dalam bidang pentadbiran dan kepimpinan negara ini turut dikesani oleh pihak penganjur ekspo dagangan peralatan dan perkhidmatan pertahanan, Defense Services Asia 2010 (DSA 2010) apabila menetapkan “Polis dan Keselamatan Negara” sebagai thema utama acara pameran dan persidangan yang bakal diadakan di Malaysia itu.
Acara penuh berprestij di peringkat antarabangsa ini bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur dari 19 hingga 22 April tahun depan.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan birokrasi Keselamatan Negara, rasional di sebalik langkah Najib memberikan penekanan baru terhadap aspek Keselamatan Negara dan bidang kepolisan dalam dasar pentadbiran beliau banyak dipengaruhi oleh kegawatan politik, ekonomi dan sosial, termasuk dari segi hubungan luar negeri, yang diwarisi dari pentadbiran Pak Lah.
Dalam senario sedemikian, dan dalam persekitaran dunia masa kini yang sedang rancak menangani beberapa aspek negatif yang dibawa oleh globalisasi terhadap keselamatan dan kedaulatan di kalangan negara Dunia Ketiga, Keselamatan Negara bagi rakyat dan negara di Malaysia akan dapat dijamin jika segala agensi yang bertanggungjawab secara langsung terhadapnya dilengkapi kebolehan, kepakaran, peralatan serta jaringan dari segi inteligen; termasuk kemampuan menjalankan operasi inteligen sulit mahu pun terbuka yang bertaraf dunia.
Menurut sumber-sumber Keselamatan Negara itu lagi, keperluan ini adalah sama pentingnya dengan usaha mengemaskini dan mengukuhkan mana-mana undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan Keselamatan Negara.
“Malah inilah antara initipati minda di kalangan penggubal dasar di bawah pentadbiran Malaysia baru pasca Pak Lah dalam penekanan serius mereka terhadap Keselamatan Negara,” tambah sumber-sumber itu lagi.
Rasional di sebalik pemikiran seumpamanya di kalangan penggubal dasar mutkahir ini tidak sukar difahami. Sejak mengambil alih teraju kepimpinan negara, Najib terpaksa mewarisi pelbagai isu yang secara langsung atau tidak bertindak sebagai ancaman yang boleh mengkompromi Keselamatan Negara yang telah terpelihara dengan memuaskan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Dan secara terus terang, perlu dinyatakan di sini bahawa isu-isu keselamatan yang diwarisi Najib bukan sekadar yang melibatkan aktiviti pelampau agama/kaum seperti kumpulan haram Hindu Rights Action Front (Hindraf) atau isu-isu hak asasi dan kesamarataan dari segi agama, pendidikan mahu pun ekonomi di kalangan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini.
Malah lebih dari itu, ancaman turut menjelma dalam bentuk yang melibatkan usaha campurtangan asing – khusus kalangan kuasa Barat dan satelit mereka di rantau ini – untuk mempengaruhi politik mahu pun ekonomi di dalam negara ini; baik secara operasi perisikan halus atau dalam istilah perisikan antarabangsa, covert operation, mahupun operasi terang-terangan (overt operation).
Dalam konteks berkenaan, peranan yang dimainkan oleh Cawangan Khas PDRM sebagai agensi inteligen dominan lagi paling berpengalaman bagi negara – dengan disokong lain-lain agensi inteligen rasmi, terutamanya Cawangan Khas Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (CKP-ATM), dan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO – Malaysia External Intelligence Organisation) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri – dilihat sebagai amat penting dalam membantu pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusi Perdana Menteri, untuk merumus strategi baru bagi mentadbir dan memelihara Keselamatan Negara.
Perlu disebut di sini bahawa usaha memelihara Keselamatan Negara, terutama dalam memantapkan peranan PDRM dan UMNO – sebagai dua tiang seri utama keselamatan dan kedaulatan agama, bangsa, tanahair – rata-ratanya dilihat sebagai tidak begitu memuaskan dalam tempoh lima tahun kepimpinan Pak Lah terhadap negara.
Malah pelbagai isu serius yang terpaksa diwarisi oleh penggantinya masa kini – terutama isu penghakisan terhadap populariti kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO – rata-ratanya dilihat oleh kalangan pemerhati rasmi mahu pun tidak rasmi sebagai berpunca dari pelbagai kelemahan ketara di bawah kepimpinan beliau.
Usaha pentadbiran Perdana Menteri Kelima ini untuk memperkenalkan doktrin keterbukaan di dalam pentadbiran beliau dengan cara yang tidak begitu jelas serta sama-samar dilihat sebagai appeasement atau sikap mengalah terhadap segala percaturan imperialisme Barat dan kuasa satelit mereka di rantau ini melalui globalisasi.
Dasar utama yang dipupuk selama lima tahun inilah yang rata-ratanya dilihat sebagai bertanggungjawab melahirkan kegawatan politik dan ekonomi yang terpaksa dipikul oleh pentadbiran penggantinya masakini sebagai ancaman baru kepada keselamatan dan kestabilan Negara.
3 ulasan:
Alamak waikh, den tak sangko esei begitu komited terhadap keselamatan negaro! Syabas, dah lamo eden mengharapkan adonya kalangan anak bangso yang tak mudah lomah semangat mempertahankan agamo, bangso dan watan. Dengar khoba, waikh den dari Rombau, budak Khairy tu tak serik2. Katonyo dia baru2 nie ada bermuzakarah dengan loyar UMNO murtad dari Kelantan, Zaid Ibrahim dan seorang aktivis anti-ISA dalam televisyen al Jazeera yang ditonton satu dunia. Betul ke, waikh? Kalau betul, den nak tanyo budak Khairy nie, dia tak sedar ke Al Jazeera rangkaian tv arab tu dikuasai kepentingan media dari Amerika Syarikat yang pro Zionis, termasuk CNN? Yang den paling musykil, ngapo orang2 UMNO, termasuk YAB Datuk Seri Presiden, sonyap ajo? Tak sodar atau takut nak ambik tahu? Salam
Congratulation again Si Bongkok for telling things as it is, without fear or favour. The country needs more writers, especially bloggers like u!
Tok Bongkok,I don't think Najib did what you said he is doing with regard to our National Security, out of his clear conscience. I'm sure he must have been "forced" to do so to escape his own enigmatic pasts, which were equally blame worthy of compromising our National Security. Are we Melayu so "mudah lupa" as to forget his firebrand racists oratory at TPCA Stadium that tense Kuala Lumpur afternoon, back in '87. He and a few other "big fishes" escaped the ensuing massive Ops Lalang ISA dragnet to become the Prime Minister of Malaysia today, but not his then small fry supporters in Pemuda UMNO such as Fahmi Ibrahim, Ibrahim Ali and many others.
Catat Ulasan