06 September 2010

Menjelang PRU 13…sindrom penafian diri di kalangan kepimpinan BN


KUALA LUMPUR: Kepimpinan Barisan Nasional yang didalangi pucuk kepimpinan UMNO sedang dilanda sindrom penafian diri (syndrome of self-denial) dan berada dalam keadaan tenggelam punca akibat laporan risikan politik dari sumber rasmi mahu pun tidak rasmi yang tidak memihak kepada mereka menjelang Pilihanraya Umum Ke 13.

Sebagai misalan, laporan risikan sulit dari kalangan agensi rasmi mahupun melalui media, khususnya media alternatif di alam siber, rata-ratanya sedang memaparkan senario prestasi lebih buruk bagi BN dalam PRU kali ini jika dibandingkan dengan PRU Ke 12 sebelumnya.

Kebanyakan laporan ini rata-ratanya memaparkan bahawa kalangan bukan Melayu, khususnya kalangan pengundi kaum Cina, dan pengundi muda sedang jelas memperlihatkan trend untuk menolak BN pada plihanraya PRU 13.

Dalam pilihanraya umum sebelum ini yang diadakan pada 8 Mac 2008, BN gagal mendapatkan majoriti dua pertiga manakala empat negeri di Semenanjung jatuh kepada pakatan pembangkang.

Prestasi suram bagi PRU 12 ini didahului oleh keadaan di mana pihak pembuat keputusan di dalam pucuk kepimpinan BN dan UMNO, terutama Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, gagal mengambil berat laporan risikan sulit dari pihak yang berwajib mahupun dari sumber terbuka, khususnya media, justeru gagal bertindak berdasarkan laporan berkenaan.

Keadaan berbahaya yang diistilah dalam bidang intelijen sebagai intelligence breach ini nampaknya masih berlaku menjelang PRU 13.

Hanya bezanya kali ini kelemahan dilihat dari segi menterjemah laporan kepada bentuk tindakan yang bersesuaian.

“Kalangan agensi pembekal laporan risikan rasmi seperti Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia dan Cawangan Khas Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia sudah sekian lama mengesani trend perubahan dari segi sokongan di kalangan pengundi terhadap BN mahu pun UMNO menjelang Pilihanraya Umum Ke 13,” tegas sumber di kalangan masyarakat perisikan sulit negara.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, masalah lazimnya timbul apabila pihak pucuk kepimpinan BN dan UMNO sendiri tidak dapat menerima kenyataan yang dipaparkan melalui laporan risikan yang diterima, lantas gagal untuk bertindak berdasarkan laporan berkenaan.

Dalam hal ini, sumber berkenaan terpaksa mendedahkan hakikat bagaimana ada antara agensi risikan sulit rasmi negara yang terpaksa “KIV” begitu banyak laporan dari kalangan petugas Pelapor mahupun Penganalis mereka hanya semata-mata kerana laporan berkenaan menyatakan bahawa Gagasan 1 Malaysia yang sedang galak diwarwarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak tidak mendapat sambutan yang sepatutnya dari kalangan rakyat kebanyakan.

1 ulasan:

The Guardian berkata...

Sebagai salah seorang anggota "masyarakat perisikan negara" yang masih berkhidmat, saya dengan suci hati mengakui bahawa Sindrom Penafian Diri yang dimaksudkan Si Bongkok Tanjung Puteri kadangkalanya berlaku di kalangan klien yang terdiri dari pucuk kepimpinan politik di dalam kerajaan. Perkara ini lazimnya berlaku apabila laporan risikan yang kami persembahkan kepada pemimpin berkenaan, khususnya mengenai sokongan terhadap kepimpinan mereka, bertentangan atau adverse dengan apa yang mereka atau orang-orang kuat mereka harapkan. Saya tidak berniat di sini untuk mengutarakan kes-kes masa kini, tapi cukuplah sekadar menyatakan bahawa prestasi tidak begitu baik BN dalam PRU Ke 12 Mac 9 2008 adalah akibat kegagalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Pengerusi BN, untuk menerima dan mengguna pakai laporan risikan rasmi yang dibekalkan. Dengan lain perkataan, jentera pilihanraya BN ketika itu gagal merumus, merancang dan menyelaras modus operandi jentera pilihanraya berdasarkan senario risikan yang telah dibekalkan oleh agensi-agensi risikan rasmi kerajaan, khususnya pihak Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia.