23 Januari 2012

PRU 13: UMNO-BN perlu elak imej desperado

Oleh Johari Ismail

Dalam lipatan sejarah konflik politik di kebanyakan negara mutakhir ini, rejim memerintah yang merasa kian tertekan akibat penentangan popular rakyat kebanyakan, atau dari kepentingan pembangkang, lazimnya akan bersikap lebih desperate dan ganas dari pihak penentang.

Seperti yang terbukti dalam apa yang popular digelar Kebangkitan Musim Bunga 2011 (Arab Spring 2011) di kalangan rakyat kebanyakan di beberapa buah negara Arab, semakin meningkatnya penentangan dari rakyat, maka semakin galak pemerintah mempertingkat penggunaan segala sumber negara yang ada, termasuk yang di luar batas undang-undang dan Perlembagaan, bagi menumpas secara ganas segala kebangkitan.

Putaran keganasan ini lazimnya akan lambat launmenyalakan api pemberontakan menyeluruh dari massa rakyat yang pasti sukar dipadam, walaupun berhadapan dengan segala jentera keselamatan negara yang berada di pihak pemerintah.

Senario seperti inilah yang perlu dielakkan di negara kita, walaupun setakat ini pucuk kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO tampaknya masih punyai kemahuan politik untuk terus berpegang kepada lunas-lunas demokrasi dan berusaha untuk mengenalpasti segala kepincangan dan mereformasi pelbagai bidang kehidupan bernegara di Malaysia.

Namun demikian, apa yang dikhuatiri adalah tindakan segelintir penyokong parti memerintah yang sejak akhir-akhir ini nampaknya mula menunjukkan sikap reactionary berlebihan dan melulu dengan menonjolkan trend provokasi ala samseng jalanan yang penuh unsur keganasan politik terhadap pihak pembangkang.

Sehubungan itu, tindakan sekumpulan ahli jemaah masjid Kampung Pandan, yang dikatakan pro-UMNO, melontar batu bata interlocking ke arah peserta demonstrasi menentang pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 20hb Januari lepas, dan selang beberapa hari lepas itu, tindakan oleh apa yang didakwa sebagai segerombolan penyokong UMNO menyerang ceramah oleh kumpulan ABU (Anything But UMNO) di Jalan Kebun, Kelang – bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan demi keperluan begitu menekan untuk memelihara keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.

Kalangan rakyat yang masih berpegang teguh dan menyokong perjuangan UMNO-BN untuk terus membina sebuah negara bangsa yang aman, makmur dan sejahtera, perlu melihat perkembangan ini dengan penuh waspada dan tidak seharusnya menyokong sebarang tindakan politik yang berbentuk keganasan di kedua-dua pihak kerajaan mahpun pembangkang..

Politik provokasi “ganas balas ganas” atau “an eye for an eye” di kalangan penyokong Parti pemerintah, atau mereka yang sekadar memaparkan diri sebagai penyokong kerajaan atas kepentingan tertentu, inilah yang diharapkan oleh mana-mana kumpulan subversif dan anti-nasional bagi membantutkan usaha kepimpinan negara masa kini yang diterajui Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak untuk membawa pembaharuan dan menambah baik segala aspek pentadbiran negara dari kepincangan kepimpinan kerajaan sebelumnya.

Ingat, mana-mana perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah melalui kaedah di luar peti undi seperti yang berlaku di rantau Arab hingga ke hari ini tidak akan berjaya tanpa wujudnya martyr atau korban berdarah. Dan korban berdarah di pihak pembangkang inilah yang perlu dielakkan oleh kepentingan BN dan UMNO.

Dalam usaha menebus prestasi suram dalam Pilihanraya Umum Mac 8 2008 dulu, adalah menjadi antara kepentingan utama BN dan UMNO untuk mengelakkan diri dari terperangkap di dalam imej pihak desperado yang sanggup berbuat apa sahaja demi memenangi Pilihanraya Umum Ke 13 dengan majoriti yang lebih meyakinkan, atau sekurang-kurangnya dari terus tumpas di tangan Pakatan Rakyat pihak pembangkang.

Tiada ulasan: