29 Ogos 2007

PERHUBUNGAN PERDANA MENTERI MALAYSIA KE 5 DENGAN ANGGOTA KELUARGA TERDEKAT DAN IMPLIKASINYA TERHADAP KESELAMATAN/KEDAULATAN NEGARA


KEPUPUSAN JATIDIRI DI KALANGAN PEMIMPIN

SEJAK negara mencapai kemerdekaan dari penjajahan British, banyak dasar pemerintahan ditentukan oleh segelintir para pemimpin politik, teknokrat, mahupun birokrat Melayu yang kepupusan sikap jatidiri bangsa sendiri, malah lebih berjiwa bekas bangsa penjajah.

Golongan ini lebih senang dikenapasti melalui istilah bahasa Inggeris yang disebut sebagai anglophile.

Sejak itu, mungkin terdapat kalangan pemimpin Melayu anglophile ini yang dapat terus menyembunyikan kuku terhadap gejala kecelaruan psiko-budaya (psycho-cultural disorder) yang dihidapi, demi menjaga imej kepimpinan dalam persekitaran massa Melayu-Islam yang rata-ratanya masih kuat berpegang kepada faktor asal usul keturunan.

Namun demikian, penularan gejala kecelaruan sosio-budaya ini mampu dikesan melalui kaedah pemantauan dan penelitian sistematik terhadap segala dasar kepimpinan dan perjuangan para pemimpin berkenaan dalam suatu jangka masa tertentu.

Walaupun Kamus Dewan mungkin belum dapat memberi terjemahan paling tepat terhadap istilah anglophile ini, tetapi kalangan akar umbi UMNO, khususnya kalangan cikgu sekolah atap Melayu pasca sejurus sebelum dan selepas Merdeka, ada mencipta dua istilah paling menarik yang hampir tepat tentang gejala ini.

Dua istilah yang dimaksudkan itu pernah suatu ketika dahulu bermain di bibir kalangan anggota masyarakat pendidik Melayu, khususnya seperti yang terdapat di Johor yakni:

1. Melayu Celup

2. Melayu Totok

Kedua-dua istilah ini bertujuan menggambarkan Melayu yang tersisih dari hakikat nilai sosio-budaya bangsa sendiri hingga sanggup bernaung di bawah nilai sosio-budaya asing; dalam hal ini nilai sosio-budaya bangsa Inggeris.

Pada asasnya, gejala anglophile boleh menular ke dalam sanubari sesiapa sahaja yang bukan berketurunan Inggeris. Ini adalah akibat dua perkara berikut:

Proses pembesaran oleh ibu bapa/penjaga; atau

Proses sosialisasi; sama ada melalui perkahwinan, kerjaya, persahabatan, pendidikan, penyertaan dalam pertubuhan, dan sebagainya.

PM KE 5 DAN ANGGOTA KELUARGA: SIAPA PENGARUHI SIAPA?

Dalam konteks ini, Perdana Menteri Malaysia Ke 5, Abdullah Ahmad (Dolah) boleh digolong ke dalam kategori kedua manakala allahyarhamah Hendon Mahmud, isterinya sekarang Jeanne Abdullah, anak-anak serta menantu tergolong dalam kategori yang pertama.

Berdasarkan psycho-cultural profiling ini, maka timbul pula keperluan untuk menyiasati siapa yang lebih mempengaruhi siapa di dalam konteks perhubungan di antara Perdana Menteri dengan isteri serta anak menantu.

Jika jawapan konklusif yang mungkin diperolehi kelak membuktikan bahawa arwah isteri, isteri sekarang dan anak menantu banyak mempengaruhi Dolah, terutamanya dari segi urusan rasmi beliau sebagai Ketua Eksekutif pentadbiran di negara ini, maka ini merupakan alasan paling kukuh untuk mengadakan pula siasatan lebih serius dari sudut implikasi hubungan kekeluargaan yang sedemikian terhadap keselamatan dan kedaulatan Negara.

PERKAITAN ANTARA KHAIRY DAN RAKAN-RAKAN DENGAN MASYARAKAT PERISIKAN BARAT

Setakat ini pun, terdapat sesetengah anggota masyarakat perisikan negara yang kuat mengesyakki kemungkinan terdapat perkaitan antara menantu lelaki Dolah, Sdra Khairy Jamaluddin (KJ) dengan aktiviti dua badan perisikan sulit AS dan Britain (Anglo-Amerika), yakni Perkhidmatan Perisikan Sulit British (Secret Intelligence Services - SIS) atau apa yang lebih dikenali sebagai MI6, serta juga dengan Agensi Perisikan Pusat (Central Intelligence Agency - CIA) Amerika Syarikat (AS).

Kemungkinan perkaitan ini mula dikesan sejak KJ masih menuntut di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) lagi. Ketika di Oxford, beliau didapati begitu aktif dalam satu kumpulan pengajian (study group) yang dikenali sebagai International Malaysia Forum (IMF); bersama-sama dengan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya sekarang yang juga bekas Penyelidik Dasar di Pejabat Perdana Menteri (Aras 4), Sdra Ahmad Zaki Zahid, dan mantan naib presiden Pergerakan Pemuda Parti Keadilan, Sdra Adelan Benan Omar serta isteri, Sdri Shelina Razali Wahi.

Pemantauan yang dilakukan ketika itu menunjukkan kemungkinan besar terdapat perkaitan sulit antara IMF dengan MI6, tak kira sama ada disedari atau tidak oleh KJ dan rakan-rakan.

Bagaimanapun, susur galur perkaitan ini lebih menjurus kepada kemungkinan besar IMF menerima suntikan dana sulit dari sumber yang berkaitan dengan badan perisikan antarabangsa British itu.

Selain dari pembabitan dengan IMF, penuntut Malaysia empat serangkai di UK itu juga pernah menulis untuk jurnal ETHOS yang dipercayai merupakan antara media samaran (dalam istilah masyarakat perisikan Barat dikenali sebagai Proprietory Media) bagi menyokong aktiviti espionage mahupun propaganda hitam CIA atau MI6.

SIAPA ITU IAN BUCHANAN?

Tokoh utama di sebalik jurnal ini merupakan seorang rakyat Australia penuh misteri yang pada ketika itu berusia sekitar setengah abad, Ian Buchanan. Malah rakyat Australia berketurunan Inggeris tulin yang sentiasa berpewatakan kemas lagi hebat pada mata umum ini dianggap oleh KJ dan rakan-rakan sebagai bapa angkat atau godfather.

Ian didapati ada perkaitan dengan Institut Penyelidikan Stanford (Stanford Research Institute) berpusat di AS dan Ethos Consultancy di UK.

Kedua-dua badan penyelidikan dan juruperunding ini kuat disyaki oleh kalangan anggota masyarakat perisikan negara sebagai antara begitu banyak “proprietory institutions” yang berperanan memudahkan operasi risik sulit pihak CIA dan MI6 di Malaysia dan seluruh rantau Asia Tenggara.

Apabila memegang jawatan mutakhir sebagai Pengarah Urusan Booz Allen Hamilton Consultancy yang berpengkalan di AS - antara syarikat juruperunding pertahanan yang diambil berkhidmat untuk pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (KEMENTAH) - bebas keluar masuk kawasan Kompleks Kem KEMENTAH di Kuala Lumpur serta lain-lain instilasi penting Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh Negara.

Pada sepanjang tempoh memberi khidmat juruperunding kepada KEMENTAH, Ian dan anak-anak buahnya dikhuatiri berjaya “memupuk” persahabatan dan kepercayaan ramai dari kalangan pegawai kanan ATM mahupun pegawai kanan awam yang strategik di kementerian berkenaan demi muslihat untuk mencapai objektif perisikan tertentu bagi pihak kuasa-kuasa Anglo-Amerika, Israel dan sekutu satelit mereka di rantau ini.

Berdasarkan ini, apa yang paling dikhuatiri adalah tentang kemungkinan besar Booz Allen Hamilton Consultancy turut merupakan proprietory company bagi pihak CIA, MI6 mahu pun Mossad Israel dalam usaha menembusi birokrasi pertahanan dan keselamatan negara Malaysia.

IAN BUCHANAN, SOUTHERN BANK, CIMB DAN TEMASIK HOLDINGS

Pada sepanjang urusan di negara ini, Ian turut menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan pemegang saham kumpulan perbankan Southern Bank Berhad (SBB); sebelum bank berkenaan diserap di bawah kepentingan kumpulan perbankan Commerce International Merchant Bankers (CIMB).

Dalam proses pengambilalihan SBB ini, Ian didapati telah mengambil kesempatan menjual kesemua kepentingan saham miliknya dengan mendapat keuntungan yang amat lumayan. Keuntungan yang berlipat kali ganda itu pula kuat disyaki sebagai ganjaran atas khidmat beliau sebagai operatif sulit yang penting bagi masyarakat perisikan Barat di Malaysia.

Dalam hubungan ini, timbul pula persoalan sama ada bekas Ahli Lembaga asing SBB yang penuh misteri ini turut memainkan peranan hingga membolehkan kumpulan perbankan tempatan itu “ditelan” oleh CIMB.

Malah di kalangan penganalisis pasaran industri perbankan tempatan, ramai yang mengesyaki bahawa CIMB hanya merupakan “front” kepada Temasik Holdings, sebuah konglomerat berkaitan dengan kerajaan Republik Singapura - negara jiran yang dikenali sebagai antara satelit atau proksi terpenting Anglo-Amerika dan Zionis Israel di Asia Timur.

Apa yang turut menimbulkan persoalan serius dari aspek kepentingan keselamatan dan kedaulatan Negara adalah dari segi sejarah kerjaya penuh tanda tanya salah seorang sahabat akrab KJ sejak zaman menuntut di UK lagi, Sdra Ahmad Zaki Zahid.

Beliau yang pernah menjadi Pegawai Penyelidik Dasar di Pejabat Perdana Menteri yang diberi kemudahan melapor terus kepada Dolah selaku Perdana Menteri, dan kini menjadi Penyelidik di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), pernah pada suatu ketika dahulu bekerja di bawah “bapa angkatnya” ketika menuntut di UK, Ian Buchanan di Booz Allen Hamilton Consultancy.

ANCAMAN DARI KONSPIRASI ORDE DUNIA BARU BARAT/ZIONIS

Dari perspektif politik antarabangsa yang lebih meluas, segala apa yang harus dikhuatiri oleh kalangan anggota masyarakat perisikan negara tentang kemungkinan terdapat perkaitan antara anggota keluarga terdekat Pak Lah dengan aktiviti masyarakat perisikan kuasa-kuasa asing perlu dilihat sebagai suatu amaran serius tentang kemungkinan Malaysia sedang turut terbabit dalam kancah percaturan kuasa Anglo-Amerika dan pergerakan Zionis Yahudi-Kristian antarabangsa untuk menegakkan apa yang popular di kalangan pengkaji strategik antarabangsa sebagai gagasan Orde Dunia Baru (New World Order).

Malah pencerobohan bala tentera Anglo-Amerika ke atas Afghanistan dan kemudian Iraq ekoran peristiwa serangan “pengganas Islam” ke atas New York dan Washington DC tanggal 11 Sept 2001, dilihat oleh kian ramai pengkaji dari serata pelosok dunia sebagai sebahagian dari perencanaan untuk menegakkan Orde Dunia Baru kedua-dua kuasa Barat itu atas hasutan pengaruh Zionis antarabangsa.

Dari segi perlaksanaan, gagasan Order Dunia Baru ini bertujuan mewujudkan suatu keadaan di mana tiada negara di dunia yang mampu mempertahan kedaulatan masing-masing dari kehendak geo-politik mahu pun geo-ekonomi Barat; seperti yang direncana oleh kepentingan Zionis Antarabangsa yang terbukti kian galak mencengkam pentadbiran Presiden George W Bush.

Konspirasi Orde Dunia Baru Anglo-Amerika telah sekian lama dibuktikan oleh kalangan pengkaji akademik, media, hak asasi manusia dan alam sekitar bebas di AS dan UK sendiri sebagai didalangi oleh kepentingan puak neo-konservatif pro-Zionis Israel yang kuat mempengaruhi pentadbiran politik perdana di AS sejak pentadbiran Parti Republikan Presiden Ronald Reagan pada sekitar tahun 1980an.

Malah sebelum itu lagi, yakni ketika pentadbiran Demokrat di bawah Presiden Jimmy Earl Carter sekitar lewat tahun 1970an, telah sedia bermaharaja lela suatu komplot antarabangsa yang dianggotai kalangan elit korporat, perbankan, akademik dan sosial global dari Barat dan Asia serta dikuasai keahlian dari AS, yang terbukti bertujuan merencana konsep penjajahan baru New World Order ini dengan penguasaan ke atas sektor kewangan dan ekonomi masyarakat antarabangsa.

Sejak dari itu juga, komplot dinamakan Suruhanjaya Trilateral (Trilateral Commission) yang terdiri dari kalangan anggota dari AS, Eropah Barat dan Asia-Pasifik (terutama Jepun) ini telah terbukti menguasai jentera pentadbiran AS di Washington yang kini merupakan kuasa besar tertunggal di dunia .

Sejak peristiwa Sept 11 2001, gandingan cengkaman pengaruh golongan neo-konservatif dan Suruhanjaya Trilateral serta lain-lain rejim kewangan dan politik tajaan komplot Barat-Zionis antarabangsa; terutama Bilderberg Group (Kumpulan Bilderberg), US Federal Reserve, World Bank, International Monetary Fund (IMF), Council for Foreign Relations (CFR) AS dan Royal Institute for International Affairs (RIIA) Britain, terhadap Washington terbukti semakin menjadi-jadi.

RUMUSAN

Apa yang paling membimbangkan, setakat ini terdapat sekurang-kurangnya dua orang anak watan Malaysia berpengaruh dan berbangsa Melayu yang menganggotai salah satu kabal penjajahan baru Barat seperti yang telah disebutkan tadi yakni Suruhanjaya Trilateral.

Walaupun salah seorang anggota Trilateral Melayu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Noordin Sopiee telahpun meninggal dunia pada tahun 2006, tetapi sebelum pulang ke rahmatullah ketika masih memegang jawatan berkenaan, beliau dikhuatiri telah berjaya membentuk serta melatih sekumpulan cadre di kalangan anak-anak muda berpotensi, termasuk Sdra Zaki Zahid dan rakan-rakan; kini menjadi antara penasihat dasar dalam serta luar negeri kepada Perdana Menteri Malaysia Ke 5 yang paling berpengaruh. (sila rujuk siri posting mengenai Suruhanjaya Trilateral dan Kumpulan Bilderberg yang dipaparkan melalui laman blog ini).

Dalam hubungan ini, apa yang seharusnya dikhuatiri oleh kalangan anggota masyarakat perisikan di Malaysia adalah tentang kemungkinan negara kita turut tersenarai di kalangan apa yang disifatkan oleh puak neo-konservatif dalam usaha merencana objektif neo-imperialisme mereka sebagai “Rogue States”: kalangan negara yang dianggap penghalang kepada cita-cita geo-politik dan geo-ekonomi Barat-Zionis, dan oleh kerana itu boleh menjadi sasaran kekuatan kabal ketenteraan mahupun kabal ekonomi dan kewangan mereka.

Setakat ini kebanyakan rogue states yang dikenalpasti oleh AS adalah terdiri dari kalangan negara Islam terutamanya Iran, Syria, Libya, Iraq malah Arab Saudi sekalipun.

10 ulasan:

Cucu Raja Haji berkata...

Semua orang dah tau macam-macam hal buruk yang berlaku dalam kepimpinan Dolah dan UMNO sejak akhir-akhir ini tapi nampaknya pemimpin UMNO yang lembab ni kuat pendinding dia, maklumlah berguru dari Tok Sami Yahudi-Nasara Amerika-Britain. Tapi nampaknya sejak akhir-akhir ini Tok Sami ni(Amerika_Britain) pun dah mula nak buat musuh dengan anak-anak buahnya (Dolah dan elit UMNO lain)...alamat kapal nak karam, macam Suharto di Indonesia, Noriega di Panama, Marcos di Filipina,Shah Iran, dan ramai lagi pemimpin Dunia Ketiga penuh korupsi yang dibina, dan kemudian diguling oleh kuasa dajjal zionis Amerika-Britain. Nasihat kawan pada Bang Dolah yang dah teruk lupa diri tapi tak sanggup pulang ke pangkal jalan dan berguru lagi di Semanggoi: KALAU TOK SAMI YAHUDI-NASRANI HANGPA TU DAH TAK MINAT, PANDAI2LAH BAWAK DIRI. TAPI KALAU HANGPA RASA TERSEPIT DAN INGAT NAK JADIKAN ORANG-ORANG MELAYU KITA, TERUTAMA ORANG KAMPUNG, YANG LURUIH BENDOI NI TEBUSAN, HANGPA LANGKAH MAYAT KAWAN DULU!!

Lim Ketapang berkata...

Interesting reading. Can we have more plse Bro.

Acik berkata...

Zaman dunia dilanda Yahudi ni, orang tua yang dah gegot pun boleh kena makan dek bebudak.

abang din berkata...

kirim salam kat khairy...jangan sampai budak-budak aku jumpa dia kat teppi-tepi jalan@!!

perantau tanjung belungkor berkata...

arwah atok saya ada pesan, kalau nak berguru jangan separuh jalan, nanti minum air kencing orang betina.

mat gerago berkata...

apasal lah orang amno cukup pandai belakon..depan kita pijak semut pun x mati.

adiwadipak berkata...

bang tulis banyk-bnyk benda allah macam ni. kasi ajar sama dia!!

poiee berkata...

Esei dah jumpa ramai melayu totok nie kek mano-mano. Kek kampung esei pun dah ramai, konon nak jadi orang kelumpo.

Tanpa Nama berkata...

Adakah tuan-tuan semua nak tahu lebih lanjut mengenai konspirasi global. Sila lawati :

http://myspace.com/bildenberg
http://myspace.com/bilderbergmy
http://veil-open.blogspot.com

Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

Dah macam2 dah aku jumpa pasal pemimpin2 nih. ntah btul ntah tak.

Mahathir dengan Freemason.
Khairy Proxy Dolah dengan M16.
Anwar dengan Washington DC(keluar dari mulut sendiri pulak tu)

ntah-ntah dia orang berlakon aje depan rakyat ikut skrip masing2

Sejak bila negara kita dah jadi macam Pakistan? Pemimpin2 semua jadi Talibarut Yahudi.

Mintaklah petunjuk, taufik dan hidayah. Dan, Doa agar kita mendapat pemimpin negara dan ahli2 kabinet yang sebenar-benar menjadi wakil/hamba Allah s.w.t.

Wassalam